BERITA TERKINI   MPBN beri penekanan lebih besar kepada kesiapsiagaan, pencegahan dan pengurangan risiko bencana - TPM Ahmad Zahid | Kabinet lulus penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara, perkukuh tadbir urus bencana - TPM Ahmad Zahid | Keupayaan bertindak pantas, tersusun di peringkat negeri dan daerah antara penentu keberkesanan pengurusan bencana -- Ahmad Zahid | SUKMA 2026 : Pelaksanaan pada skala kecil untuk jimat kos, jumlah sukan dipertandingkan tidak terjejas - Dr Mohammed Taufiq | SUKMA Selangor 2026 diteruskan ikut jadual Ogos ini - Dr Mohammed Taufiq | 

Berjaya Corporation Berminat Tarik Syarikat Tempatan Sertai Konsortium KL-SG HSR

KLANG, 17 Jan (Bernama) - Berjaya Corporation Bhd, peneraju konsortium projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (KL-SG HSR) berminat untuk menarik syarikat tempatan menyertai konsortium tersebut.

Pengasas dan penasihatnya Tan Sri Vincent Tan berkata Berjaya menggalakkan syarikat tempatan untuk menyertai konsortium tersebut susulan berakhirnya perjanjian kerjasama dengan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB). 

“Barangkali, kita akan dapat kumpulan besar lain (untuk) sertai (konsortium), tetapi belum tahu lagi (syarikat mana yang akan sertai). 

“Kalau ada yang berminat, kita tengoklah, kita akan runding dengan mereka. Saya fikir bagi konsortium ini kami lebih memilih syarikat Malaysia (tempatan),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pulau Ketam di sini, hari ini. 

Konsortium KL-SG HSR yang diterajui Berjaya disertai Berjaya Rail Sdn Bhd, Keretapi Tanah Melayu Bhd, IJM Corporation Bhd serta rakan kongsi teknikalnya seperti Deutsche Bahn, Hitachi Rail, dan Hyundai Rotem. 

Sementara itu, Tan berkata komitmen kerajaan untuk menghidupkan semula projek KL-SG HSR sekiranya terdapat penyertaan sepenuhnya daripada sektor swasta dengan penglibatan kerajaan yang sangat minimum, adalah satu keputusan yang tepat. 

“(Kos) HSR mahal, apa yang kerajaan buat adalah betul kerana mereka (perlu) tengok keadaan kewangan negara, teliti dengan baik, tengok kepada keperluan negara,” katanya.

Pembinaan projek KL-SG HSR dianggarkan menelan kos kira-kira RM100 bilion. 

-- BERNAMA