BERITA TERKINI   Kerajaan setuju bayar RM200 sehektar sebagai pendahuluan Bantuan Khas Insentif Pembajakan, manfaatkan hampir 240,000 pesawah - PM Anwar | MARA Corp sasar kurangkan kerugian terkumpul kepada RM49.7 juta menjelang akhir 2026, capai prestasi keuntungan terkumpul menjelang akhir 2027 - Ketua Pengarah | MARA sasar jana nilai melalui pelaburan bersasar, berimpak tinggi berjumlah RM2.2 bilion menjelang 2030, meliputi inisiatif kredit karbon dan pembangunan hartanah bernilai tinggi - Ketua Pengarah | Kadar sewa premis semua agensi kerajaan Persekutuan seperti MARA dan UDA dikurangkan, bantu peniaga kecil - PM Anwar | Cuaca panas: TUDM, Bomba diarah tingkat aktiviti pembenihan awan di utara Semenanjung bagi atasi kesukaran dihadapi petani - PM Anwar | 

Projek Rintis 'Servis Ihsan@Petronas AutoExpert' Bermula Jumaat - Armizan

PUTRAJAYA, 20 Jan (Bernama) -- Projek rintis ‘Servis Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert (SIM@PAX)’ melibatkan 95 PAX di seluruh negara akan bermula 24 hingga 28 Jan ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali. 

Armizan berkata inisiatif baharu di bawah Payung Rahmah MADANI itu membolehkan golongan pendapatan rendah menikmati harga istimewa antara 10 dan 30 peratus bagi pembelian minyak pelincir jenis mineral serta semi sintetik di semua PAX yang menyertai program itu.

Beliau berkata pelaksaan projek rintis SIM@PAX itu bersempena sambutan Tahun Baharu Cina dan akan diteruskan pada setiap sambutan perayaan utama di Malaysia termasuk Aidilfitri, Aidiladha, Pesta Kaamatan, Hari Gawai, Deepavali, Krismas dan Hari Kebangsaan.

“Program ini menyasarkan pemberian manfaat kepada golongan berpendapatan rendah dalam mendepani cabaran kos sara hidup melalui pengurangan kos penyelenggaran kenderaan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perutusan Hala Tuju KPDN di sini hari ini.

Armizan berkata golongan sasar boleh membuat janji temu sebelum hadir ke mana-mana PAX melalui aplikasi Setel. 

Terdahulu ketika berucap pada majlis berkenaan, Armizan berkata Hala Tuju 2025 KPDN adalah berdasarkan kepada empat fokus yang diakronimkan sebagai K.P.D.N iaitu Ketangkasan Penguatkuasaan, Pemacu Ekonomi Domestik, Daya Upaya Pengguna dan Advokasi Kepenggunaan dan NACCOL (Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara).

Bagi memastikan K.P.D.N direalisasikan secara strategik, beliau berkata empat fokus itu akan digerakkan melalui empat teras pemacu dikenali sebagai K.I.T.A.

K.I.T.A ialah Keterangkuman Kerajaan dan Kecemerlangan, Iltizam Industri, Tekad Tatakelola serta Aspirasi dan Partipasi Awam.

-- BERNAMA