BERITA TERKINI   RUU Perolehan Kerajaan tidak sama sekali menambah kuasa, sebaliknya mengehadkan kuasa Menteri Kewangan dengan memperkenalkan mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh - Amir Hamzah | 98.8 peratus daripada sasaran 500,000 pembinaan rumah mampu milik dicapai dalam RMK12 - PM Anwar | RUU Pembaharuan Semula Bandar perlu dilaksanakan bagi bina kediaman lebih selesa untuk rakyat - PM Anwar | Kerajaan beri tumpuan kepada projek keutamaan seperti NSS dan JS-SEZ tanpa meminggirkan pembangunan di negeri lain dalam Kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 - PM Anwar | Kerajaan pastikan agihan adil kepada negeri untuk pembangunan dan kesalinghubungan digital - PM Anwar | 

Malaysia, EU Sambung Semula Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas

Daripada D.Arul Rajoo

BRUSSELS, 20 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Suruhanjaya Eropah (EC) Urusula von der Leyen mengumumkan untuk menyambung semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia dan Kesatuan Eropah (MEUFTA), sekali gus melakar detik bersejarah bagi hubungan kedua-dua pihak.

Pengumuman itu dibuat sempena lawatan kerja Anwar yang juga Menteri Kewangan ke Brussels, Belgium, pada 19-20 Jan, 2025.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata langkah menyambung semula rundingan itu juga menandakan satu pencapaian penting dalam usaha mengukuhkan hubungan ekonomi Malaysia dengan salah satu blok perdagangan terbesar dunia selain mencerminkan komitmen lebih erat dengan Kesatuan Eropah (EU), antara rakan perdagangan dan pelaburan utama bagi Malaysia.

Pencapaian ini juga menggambarkan kekuatan hubungan yang berterusan antara kedua-dua belah pihak dan komitmen bersama dalam memupuk kemakmuran ekonomi.

“MEUFTA dijangka membuka manfaat besar yang merentasi pelbagai sektor ekonomi Malaysia selain mengukuhkan rantaian bekalan global dalam sektor-sektor kritikal.

“Ia berpotensi untuk meningkatkan eksport dari sektor-sektor seperti produk elektrik dan elektronik, minyak sawit dan produk berasaskannya serta peralatan optik dan saintifik ke pasaran EU,” katanya.

Selain itu, MEUFTA berkenaan akan turut menjadi pemangkin dalam menarik pelaburan baharu EU dalam sektor-sektor termaju seperti tenaga hijau dan pembuatan termaju, selaras dengan matlamat pembaharuan industri dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

Pada 2023, EU merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan mencecah RM206.79 bilion.

Bagi tempoh Januari hingga November 2024, perdagangan dengan blok itu juga meningkat 5.2 peratus kepada RM200 bilion berbanding tempoh sama pada 2023.

Sehingga 2023, pelaburan EU di Malaysia telah menjana lebih daripada 153,000 pekerjaan melalui  sejumlah 1,323 projek yang bernilai RM227.9 bilion.

Rundingan MEUFTA yang disambung semula itu adalah bukti visi bersama dalam kerjasama ekonomi dan aspirasi untuk membuka potensi perdagangan dan pelaburan.

“Kerajaan Malaysia komited untuk mencapai perjanjian yang seimbang dan menyeluruh kepada semua pihak berkepentingan, di samping memastikan faedah bersama Malaysia dan EU.”

Selain itu, kata PMO, kerajaan akan terus mengadakan libat urus dengan pemain industri dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk memastikan MEUFTA mencerminkan kepentingan nasional dan aspirasi ekonomi Malaysia.

-- BERNAMA