BERITA TERKINI   Kerajaan beri amaran kepada korporat, industri supaya hentikan aktiviti "channel switching" dan beli minyak pada harga pasaran atau berhadapan dengan tindakan - Amir Hamzah | APAD batal Lesen Pengendali syarikat pemandu treler, MFG Barokah Enterprise susulan kemalangan maut di Gemas Baharu, Johor korbankan tiga nyawa | Krisis Tenaga Global: Langkah kekalkan subsidi bersasar diesel pastikan sektor kritikal seperti nelayan, pengangkutan awam terus nikmati diesel pada kadar terkawal - Amir Hamzah | Krisis Tenaga Global: Kerajaan kini tanggung kos subsidi petrol dan diesel sebanyak RM6 bilion berbanding RM700 juta sebelum perang - Amir Hamzah | Krisis tenaga global: Bekalan minyak Malaysia lebih kukuh berbanding negara lain - Amir Hamzah | 

Rundingan Semula MEUFTA Penting Untuk Tingkat Hubungan Perdagangan Dan Ekonomi - MITI

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) --  Pelancaran semula rundingan bagi Perjanjian Perdagangan Bebas Kesatuan Eropah-Malaysia (MEUFTA) merupakan detik penting dalam peningkatan hubungan perdagangan dan integrasi ekonomi antara kedua-dua pihak.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Pesuruhjaya Perdagangan Suruhanjaya Eropah menerusi satu kenyataan bersama hari ini berkata perjanjian perdagangan bebas yang moden dan dinamik akan membawa manfaat bersama, membuka pintu kepada peluang perniagaan baharu dan meningkatkan daya tahan rantaian bekalan.

“Rundingan ini dimulakan pada saat bersejarah. Dalam landskap geopolitik semasa yang kian berubah, adalah penting untuk membina perkongsian baharu, memupuk kerjasama dan meneroka peluang baharu.

“Kami mengalu-alukan rundingan pusingan pertama yang produktif dalam beberapa bulan akan datang,” kata Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dan Presiden Pesuruhjaya Keselamatan Perdagangan dan Ekonomi Suruhanjaya Eropah, Maroš Šefčovič menerusi kenyataan tersebut.

.Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen, hari ini mengumumkan penyambungan semula rundingan MEUFTA  yang ditangguhkan pada 2012 selepas dilancarkan pada 2010.

Pengumuman tersebut dibuat bersempena lawatan kerja Perdana Menteri ke Brussels, Belgium pada 19 - 20 Januari 2025.

-- BERNAMA