BERITA TERKINI   Gabungan dewan perniagaan di negara ini diminta bekerja sebagai satu pasukan, tingkatkan kemajuan Malaysia - PM Anwar | Kerajaan pilih kadar caruman KWSP 2 peratus bagi pekerja asing berbanding 12 peratus yang dicadangkan sebelum ini - PM Anwar  | Titah Agong: Kerajaan MADANI akan pastikan agihan hasil ekonomi dimanfaat untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat - PM Anwar | ACCCIM gesa kerajaan memperkenalkan skim kredit eksport dan mengurangkan duti import ke atas bahan mentah untuk membantu PKS menyesuaikan dengan dasar perdagangan baharu oleh ekonomi utama | Istiadat Pembukaan Parlimen: Titah Agong sarat dengan pesanan, perlu dihayati Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang - Fahmi | 

CIMB Group Ulang Komitmen Perkukuh Hubungan Ekonomi Malaysia Ke Peringkat Global

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- CIMB Group kekal komited dalam menyokong usaha kerajaan untuk memperkukuh hubungan ekonomi global, meningkatkan kelebihan daya saing Malaysia, dan memupuk kemampanan ekonomi jangka panjang.

Usaha itu dapat dilihat apabila CIMB Group Holdings Bhd menjadi tuan rumah bersama siri Invest Malaysia 2025 yang pertama di London dan menghimpunkan wakil kerajaan, syarikat terkemuka Malaysia serta pelabur institusi global untuk menonjolkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terkemuka

Bertemakan “Kebangkitan Ekonomi Malaysia, Memacu Pertumbuhan ASEAN”, acara itu berjaya menarik penyertaan lebih 200 delegasi, termasuk pelabur pendapatan tetap, ekuiti dan ekuiti swasta asing, dengan gabungan jumlah aset di bawah pengurusan melebihi US$50.7 trilion.

Dalam satu kenyataan, CIMB Group berkata acara tersebut direka khusus untuk menawarkan pandangan yang lebih mendalam mengenai prospek ekonomi Malaysia, dasar ekonomi yang dinamik, serta inisiatif yang berfokuskan ASEAN, dengan menekankan potensi negara sebagai pusat utama bagi pelaburan global.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Novan Amirudin berkata CIMB berbangga kerana menyumbang secara aktif untuk meletakkan Malaysia sebagai hab pelaburan utama bagi kalangan pelabur global.

Beliau berkata ia juga disokong oleh prospek ekonomi negara yang kukuh, permintaan domestik yang tinggi, pembaharuan fiskal yang progresif, serta penyertaan strategik dalam perjanjian perdagangan pelbagai hala utama.

“Ini termasuk BRICS (Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan) serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Kerjasama Trans-Pasifik, yang juga menandakan perjanjian perdagangan bebas pertama antara United Kingdom dan Malaysia," kata Novan.

-- BERNAMA