BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Pengeluaran Proton e.MAS 7 Dipertingkatkan Susulan Permintaan Tinggi

KOTA BHARU, 21 Jan (Bernama) -- Proton Holdings Bhd (Proton) sedang meningkatkan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) e.MAS 7 dengan tambahan 3,000 unit bagi menampung permintaan tinggi daripada pelanggan di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Roslan Abdullah berkata pembuat kereta itu sebelum ini menyasarkan untuk mendapatkan 3,000 tempahan bagi kenderaan itu dalam tempoh enam bulan, tetapi ia telah melepasi sasaran dalam tempoh kurang sebulan.

"Permintaan semakin meningkat dan ini menunjukkan penerimaan rakyat terhadap kereta EV.

"Saya yakin dalam masa tiga atau empat tahun akan datang orang akan berebut untuk menggunakan kenderaan EV dan semakin meninggalkan penggunaan kenderaan petrol atau diesel," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Bilik Pameran Kereta Elektrik jenama PROTON di JM Otomobil (EV) Wakaf Siku, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Roslan berkata sasaran  terhadap pengguna kenderaan EV ini adalah kepada mereka yang meminati teknologi terbaharu.

"Harga dia (EV) tidak jauh beza dengan Proton X50 dan X70. Apa yang penting adalah matlamat negara yang sedang menuju ke arah Mobiliti Karbon Sifar," katanya.

Proton e.MAS 7 dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Dis tahun lepas, ia  merupakan kereta EV pertama negara dalam mengorak langkah ke arah kemampanan dan inovasi teknologi hijau.

Ditawarkan dua varian iaitu Prime pada harga bermula RM109,800 dan Premium (RM123,800).

Ia dilengkapi dengan sistem motor 12 dalam 1, audio dengan 16 pembesar suara, ruang dalaman yang luas serta 33 ruang penyimpanan.

-- BERNAMA