BERITA TERKINI   Liga Super: Selangor 5-2 Terengganu | Liga Super: KL City 3-1 PDRM | Kerajaan cadang gubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 - PM Anwar | Kerajaan MADANI cipta sejarah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengandungi penanda aras berkaitan pengurusan fiskal - PM Anwar | Kerangka Ekonomi MADANI serta RMK13 bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi bagi menangani kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama - PM Anwar | 

Inflasi Malaysia Sederhana Kepada 1.7 Peratus Pada Disember 2024 - Jabatan Perangkaan

 

KUALA LUMPUR 22 Jan (Bernama) -- Kadar inflasi Malaysia menyederhana kepada 1.7 peratus pada Disember 2024 dengan mata indeks mencatatkan 133.4 berbanding 131.2 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan inflasi pada Disember 2024 didorong oleh peningkatan yang lebih perlahan bagi kumpulan utama penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (3.2 peratus), rekreasi, sukan dan kebudayaan (1.7 peratus), kesihatan (1.1 peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.4 peratus).

Beliau berkata inflasi bagi restoran dan perkhidmatan penginapan serta makanan dan minuman masing-masing meningkat pada kadar yang lebih tinggi iaitu 2.9 peratus dan 2.7 peratus berbanding 2.8 peratus dan 2.6 peratus pada November 2024.

Katanya inflasi untuk maklumat dan komunikasi bagaimanapun terus menurun kepada negatif 5.4 peratus pada Disember 2024 (November 2024: -3.9 peratus).

“Pakaian dan kasut kekal berada di wilayah negatif dan mencatat negatif 0.5 peratus (November 2024: -0.3 peratus).

“Sementara itu, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.2 peratus), pendidikan (1.5 peratus), minuman beralkohol dan tembakau (0.8 peratus), insurans dan perkhidmatan kewangan (0.5 peratus), dan pengangkutan (0.4 peratus) meningkat pada kadar yang sama seperti bulan sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai inflasi di peringkat negeri, Mohd Uzir berkata kebanyakan negeri mencatatkan kadar inflasi di bawah paras inflasi nasional, kecuali lima negeri yang melepasi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (2.6 peratus), Pahang (2.3 peratus), Selangor ( 2.0 peratus), Johor (1.8 peratus) dan Sarawak (1.8 peratus).

Beliau berkata kadar inflasi tahunan bagi 2024 berada pada 1.8 peratus, yang merupakan penurunan inflasi dua tahun berturut-turut semenjak 2022 (3.3 peratus).

Inflasi keseluruhan secara bulanan pada Disember 2024 meningkat 0.1 peratus berbanding November 2024.

''Inflasi bagi suku keempat 2024 berada pada 1.8 peratus (S3 2024: 1.9 peratus).

"Bagi perbandingan suku ke suku, inflasi Malaysia menunjukkan peningkatan 0.2 peratus (S3 2024: 0.4 peratus)," katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata inflasi teras lebih rendah pada 1.6 peratus pada Disember 2024, berbanding 1.8 peratus pada November 2024.

“Bagi perbandingan inflasi dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.7 peratus) lebih rendah daripada inflasi di Vietnam (2.9 peratus), Filipina (2.9 peratus) dan Republik Korea (1.9 peratus).

“Bagaimanapun, kadar itu naik sedikit dari Indonesia (1.6 peratus), Thailand (1.2 peratus) dan China (0.1 peratus),” tambahnya.

-- BERNAMA