BERITA TERKINI   Kerajaan MADANI peruntuk RM60 juta khusus untuk program pembasmian kemiskinan di Terengganu tahun ini - PM Anwar | Kerajaan Persekutuan lulus peruntukan RM1.8 juta bagi kerja-kerja pembaikan infrastruktur dan fasiliti di 18 buah sekolah tahfiz, sekolah pondok di Terengganu sepanjang tahun ini - PM Anwar | Sekolah tahfiz, sekolah pondok seluruh negara perlu kuasai ilmu teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) - PM Anwar | PM Anwar mahu projek pembinaan Kolej Matrikulasi Terengganu di Marang disegerakan | Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | 

MRCB, ISSB Meterai Kerjasama Bangun Ipoh Sentral

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), Country Annexe Sdn Bhd memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Ipoh Sentral Sdn Bhd (ISSB) bagi membangunkan Ipoh Sentral.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MRCB berkata cadangan usaha sama dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM6.25 bilion itu merupakan pembangunan berorientasikan transit di atas sebidang tanah di Ipoh, Perak.

“Ia bukan sekadar berperanan sebagai hab pengangkutan moden bagi pelbagai bentuk pengangkutan tetapi juga bakal mengukuhkan kualiti hidup orang ramai menerusi pembangunan bersepadu,” kata syarikat itu.

Menurut MRCB, MoA itu dijangka tidak membawa kesan ketara terhadap aset bersih dan pendapatan syarikat serta kumpulan tersebut bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025.

ISSB ialah syarikat usaha sama yang ditubuhkan oleh Railway Assets Holding Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Railway Assets Corporation dan Silver Smart Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI).

-- BERNAMA