Malaysia Serlah Kewibawaan Sebagai Pengerusi ASEAN Di WEF 2025
Daripada Anas Abu Hassan
DAVOS (Switzerland), 23 Jan (Bernama) -- Sebagai pengerusi ASEAN pada tahun ini, Malaysia mencatatkan permulaan yang kukuh dengan menyampaikan suara bersama blok dianggotai 10 negara itu mengenai cabaran, potensi dan kebebasannya dalam membuat keputusan pada Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di sini.
Sidang kemuncak peringkat tinggi itu, yang berlangsung dari 20 hingga 24 Januari, mempunyai keupayaan untuk mempengaruhi keputusan dasar politik dan perniagaan di peringkat global.
Berdasarkan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, Kepengerusian ASEAN-Malaysia pada tahun ini bertujuan menggabungkan pragmatisme ekonomi dengan nilai-nilai berteraskan kemanusiaan, mesej yang disampaikan dengan jelas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri di WEF pada tahun ini.
Beliau berkata walaupun ini mungkin kedengaran bercita-cita tinggi, dari segi pelaksanaannya, ia bermakna menjadikan ASEAN sebagai destinasi menarik untuk pelaburan dan pertumbuhan selain mengurangkan impak negatif daripada persekitaran yang properniagaan.
Dalam beberapa pertemuannya di sini, Anwar yang juga Menteri Kewangan, berulang kali menegaskan bahawa Malaysia sebagai pengerusi ASEAN akan memacu pakatan itu berdasarkan prinsip kepusatan.
Negara-negara anggota ASEAN memberi tumpuan kepada mengukuhkan asas ekonomi, kerjasama dan meningkatkan perdagangan intra-ASEAN, yang setakat 2023, mewakili populasi sebanyak 677 juta dan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak US$3.8 trilion (US$1=RM4.43).
Menurut Ringkasan Statistik ASEAN, dari 2003 hingga 2023, perdagangan intra-ASEAN menyumbang kira-kira 22 peratus daripada jumlah perdagangan dalam tempoh tersebut, menunjukkan bahawa potensi perdagangan intra-ASEAN masih luas dan sebahagian besarnya belum dimanfaatkan.
Perdana Menteri berkata ASEAN menyedari keperluan untuk meningkatkan perdagangan intra-ASEAN dan bekerjasama untuk melengkapi kelebihan daya saing antara satu sama lain serta akan terus memberi tumpuan terhadap perkara tersebut.
Mengenai isu Myanmar, ASEAN mengambil pendekatan berhati-hati dalam isu tersebut berikutan langkah itu penting untuk menjamin keamanan di negara tersebut, kata beliau sambil menambah pendekatan ASEAN bukanlah dalam bentuk menguatkuasakan sistem tertentu, sebaliknya memastikan wujudnya keterangkuman dan keamanan serta kepentingan memelihara demokrasi.
Sementara itu, Utusan Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar Julie Bishop berkata kepimpinan Malaysia dalam ASEAN memberi harapan untuk meredakan krisis berpanjangan di Myanmar.
Dalam ucapannya pada Sidang Pleno ASEAN bertajuk “Even Stronger Together” di WEF 2025 pada Rabu, Bishop menekankan peranan penting ASEAN dalam menangani krisis itu.
Selain itu, Anwar juga mengulangi komitmen Malaysia terhadap Perjanjian Iklim Paris mengetengahkan kesediaan negara untuk mengambil langkah berani dan tegas yang menjunjung tinggi nilai kemanusiaan dan memelihara kelestarian.
Beliau berkata Malaysia, sebagai sebuah negara berbilang kaum, bukan sahaja mempamerkan perpaduan di negara sendiri tetapi juga di platform serantau.
“Malaysia boleh menunjukkan bahawa kami sebuah negara majoriti Islam, dengan jumlah etnik Cina dan India yang besar, serta kumpulan pribumi dari Sabah dan Sarawak, mampu bersatu sebagai satu keluarga yang hebat,” kata beliau.
Di luar acara WEF 2025, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan pemimpin perniagaan daripada syarikat multinasional (MNC) termasuk AstraZeneca, Fortescue, DP World, Medtronics, Nestle, Google dan TotalEnergies, yang diatur oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Antara hasil utama daripada pertemuan tersebut adalah syarikat perlombongan logam global Australia, Fortescue bersetuju untuk melabur dalam tenaga alternatif hidrogen hijau di Bintulu, Sarawak.
“Kerajaan negeri Sarawak pada dasarnya bersetuju dan saya memberi jaminan beberapa insentif dan sokongan supaya Bintulu menjadi hab,” kata beliau pada akhir lawatan tiga harinya di sini.
Selain bertemu dengan syarikat multinasional, Anwar juga mengadakan tiga pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Libya Abdul Hamid Dbeibah, Presiden Somalia Hassan Sheikh Mohamud dan Perdana Menteri Belanda Dick Schoof.
Sepanjang lawatan itu, Perdana Menteri diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Mesyuarat Tahunan WEF 2025 yang bertemakan “Collaboration for the Intelligent Age,” menumpukan kepada peranan teknologi baru muncul dalam menangani cabaran ekonomi global.
Perbincangan utama tertumpu pada lima keutamaan -- Industri di Era Kecerdasan; Membina Semula Kepercayaan; Menilai Semula Pertumbuhan; Pelaburan Insan dan Melindungi Planet.
Lawatan ini merupakan kehadiran pertama Anwar ke WEF sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2022.
-- BERNAMA