Pelabuhan SOGIP Bawa Potensi Luar Biasa Pertumbuhan Ekonomi Sabah

KOTA KINABALU, 23 Jan (Bernama) — Pengisytiharan Pelabuhan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) adalah satu langkah strategik yang mampu membawa potensi luar biasa kepada pertumbuhan ekonomi di Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah menjelaskan pelabuhan baharu yang bertempat di Sipitang itu terletak kira-kira 140 kilometer daripada Kota Kinabalu turut akan memacu pelbagai sektor ekonomi tempatan seperti pengangkutan, perkapalan dan logistik.

“Manfaat ekonomi kawasan berkenaan amat jelas kerana kedudukannya yang strategik di pantai barat Sabah menghadap Laut China Selatan menjadikan Sipitang sebagai pintu gerbang baharu untuk perdagangan maritim di rantau ini.

"Pelabuhan ini juga akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu bagi penduduk tempatan, meningkatkan pendapatan isi rumah dan mendorong pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya ketika berucap pada majlis Pengisytiharan Rasmi Pelabuhan SOGIP di sini hari ini.

Beliau berkata inisiatif berkenaan bukan sekadar satu pengiktirafan tetapi selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diilhamkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam usaha mengukuhkan pembangunan ekonomi dan infrastruktur Sabah.

"Sebagai kawasan pelabuhan baharu, Sipitang tidak hanya meningkatkan kapasiti negeri untuk mengendali penghantaran dan penerimaan barang-barang antarabangsa, tetapi juga memperluaskan aksesibiliti perniagaan ke pasaran global.

"Ini adalah langkah penting dalam mengukuhkan hubungan perdagangan antara Malaysia dengan negara-negara jiran serta serantau. Kita yakin pertumbuhan perdagangan bilateral dan multilateral ini akan meningkat dengan ketara," katanya.

Pada majlis itu, Shahelmey turut mewakili Ketua Menteri bagi menyaksikan majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi Pelabuhan di antara Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS), Sabah Oil & Gas Development Corporation (SOGDC) Sdn Bhd dan SOGIP Port Sdn Bhd.

Menurutnya, dengan infrastruktur yang tersedia, Sipitang akan menjadi pusat logistik yang penting di rantau ini, sekali gus menyokong aktiviti perdagangan dan perindustrian dengan lebih baik.

“Melalui kemudahan moden yang akan disediakan, kita yakin projek ini akan memperkukuh kedudukan Sabah sebagai pemain penting dalam arena perdagangan antarabangsa dan logistik, serta mempercepatkan integrasi dengan ekonomi global.

"Saya percaya projek Pelabuhan SOGIP ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada kawasan sekitar, tetapi ia akan menjadi pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi yang lebih lestari dan seimbang di seluruh Sabah,” tambahnya.

-- BERNAMA