BERITA TERKINI   PM Anwar umum tambahan RM10 juta kepada Kementerian Perpaduan Negara untuk laksana program kenegaraan | PM Anwar seru rakyat tidak terpengaruh dengan hasutan, fokus usaha majukan negara | Pelan Tindakan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) 2026-2030 dilancar tahun ini, perkuat garis panduan penggunaan AI - Gobind | Lapan hakim Mahkamah Rayuan dan 14 hakim Mahkamah Tinggi yang baru dilantik akan angkat sumpah 28 Julai ini - PM Anwar | 

Perbincangan Dengan Yidu Tech Berpotensi Bangunkan Penjagaan Kesihatan Malaysia - Gobind

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Perbincangan bersama syarikat penjagaan kesihatan dan penyelesaian kecerdasan buatan (AI), Yidu Tech Inc berpotensi mewujudkan kerjasama bagi mengubah infrastruktur penjagaan kesihatan dan perubatan Malaysia.

Menteri Digital Gobind Singh Deo menyatakan harapan itu selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi merangkap Pengasas Yidu Tech Gong Ying Ying pada luar acara Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland, yang akan berakhir esok.

Gobind antara delegasi Malaysia ke forum peringkat tinggi tahunan itu, yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Berlandaskan Dialog Strategi Negara yang komprehensif yang dibentangkan oleh Perdana Menteri di WEF di Davos, kami telah mengadakan perbincangan mendalam mengenai pemanfaatan analisis data lanjutan untuk membangunkan penyelesaian digital dan AI yang inovatif.

"Teknologi termaju ini akan mencapai beberapa objektif penting: mengurangkan dengan ketara beban kerja harian profesional kesihatan, meningkatkan kualiti dan keberkesanan penyampaian rawatan pesakit, dan akhirnya mencapai pengurangan yang signifikan dalam kos keseluruhan sistem penjagaan kesihatan," kata Gobind dalam satu hantaran di platform X hari ini.

Yidu Tech beroperasi terutamanya dalam tiga segmen perniagaan iaitu platform data raya dan penyelesaian, penyelesaian sains hayat, dan platform pengurusan kesihatan dan penyelesaian.

Syarikat yang diasaskan pada 2014 ini disenaraikan di Papan Utama Bursa Saham Hong Kong.

-- BERNAMA