Pasaran Analisis Data Besar Malaysia Bersedia Untuk Pertumbuhan, Kata Pakar
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Pasaran analisis data besar (BDA) sedang mengalami pertumbuhan yang teguh di peringkat global dan di Malaysia selepas didorong oleh peningkatan permintaan untuk penyelesaian yang dipacu data, kata Profesor Madya Sains Komputer dan Ketua Pusat Pengajian Matematik serta Sains Komputer di Universiti Heriot-Watt Malaysia , Dr Ian Tan.
Menurut Tan, kajian yang ditauliahkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah dijalankan oleh International Data Corporation (IDC), mengunjurkan bahawa pasaran BDA Malaysia akan berkembang daripada US$1.1 bilion (US$1 = RM4.38) pada 2021 kepada US$1.9 bilion menjelang 2025.
Pada skala global, platform risikan perniagaan dan data global, Statista meramalkan pasaran BDA akan mencecah US$103 bilion menjelang 2027, menonjolkan kepentingan BDA yang semakin melonjak dalam memacu inovasi perniagaan dan membentuk strategi persaingan merentas industri.
Tan menekankan implikasi penting analisis data bagi pertumbuhan ekonomi termasuk penciptaan pekerjaan, menyifatkannya sebagai pemacu utama inovasi dalam sektor penjagaan kesihatan, kewangan dan teknologi.
“Analisis data bukan sahaja bertindak sebagai pemangkin pertumbuhan tetapi turut menjadi pemacu utama inovasi merentas sektor seperti penjagaan kesihatan, kewangan dan teknologi,” katanya.
“Ia telah menjadi asas dalam ekonomi moden, membantu perniagaan dan kerajaan telah memanfaatkan pelbagai data untuk memaklumkan keputusan strategik,” katanya.
Pemecutan Penggunaan Analisis Data dan Pendigitalan
Pandemik Covid-19 telah mempercepatkan pendigitalan dan penggunaan analisis data dalam perniagaan.
Strategi yang didorong oleh data telah membantu syarikat meningkatkan kecekapan, mengoptimumkan operasi dan melibatkan pelanggan dengan lebih berkesan.
“Sebagai contoh, gergasi e-dagang seperti Shopee dan Lazada menggunakan data besar bagi memperibadikan pengalaman membeli-belah, yang telah menyebabkan peningkatan kepuasan pelanggan termasuk jualan yang lebih tinggi. Pada skala global, kesan analisis data mengenai pertumbuhan ekonomi juga penting,” katanya.
Secara global, Forum Ekonomi Dunia (WEF) menganggarkan aplikasi yang didorong oleh data mampu menyumbang sebanyak US$13 trilion kepada ekonomi global menjelang 2030.
Negara-negara yang melabur dalam infrastruktur data dan kemahiran digital bersedia untuk meraih peluang serta kedudukan yang besar sebagai peneraju dalam ekonomi digital.
Dalam konteks ini, inisiatif digitalisasi Malaysia, seperti MyDigital, adalah penting bagi melonjakkan ekonomi digital negara selain meningkatkan daya saing serantaunya.
Memupuk inovasi merentasi sektor
Tan juga menekankan peranan analisis data dalam mentransformasikan sektor seperti penjagaan kesihatan dan kewangan.
Dalam penjagaan kesihatan, analisis ramalan akan neningkatkan keputusan pesakit dengan mengoptimumkan peruntukan sumber dan strategi rawatan, membolehkan penyedia penjagaan kesihatan menangani ancaman kesihatan secara proaktif, mengukuhkan daya tahan kesihatan awam termasuk memberikan penjagaan yang lebih baik.
Dalam kewangan, analisis data membolehkan penilaian risiko, pengesanan penipuan dan analisis tingkah laku pelanggan, seperti yang digunakan oleh institusi kewangan.
“Pendekatan proaktif ini bukan sahaja akan melindungi aset tetapi juga membina kepercayaan pengguna, elemen penting dalam kejayaan sesebuah perkhidmatan kewangan. Penggunaan meluas analisis data dalam sektor seperti penjagaan kesihatan dan kewangan menyerlahkan potensinya bagi memacu inovasi, pertumbuhan ekonomi serta perkhidmatan awam yang lebih baik,” katanya.
Menangani jurang kemahiran
Tan berkata peningkatan analisis data telah mewujudkan peluang pekerjaan baharu tetapi Malaysia menghadapi jurang kemahiran yang ketara dalam bidang yang berkembang pesat ini.
Menurut tinjauan WEF, 50 peratus pekerja di seluruh dunia akan memerlukan kemahiran semula menjelang 2025 berikutan peningkatan penerimaan teknologi.
Berdasarkan tinjauan Economist Impact, di Malaysia, walaupun 65 peratus pekerja bersetuju bahawa kemahiran digital adalah penting, selalunya terdapat ketidakpadanan antara kemahiran yang diperlukan oleh majikan dan mereka dimiliki oleh tenaga kerja.
Tan memberitahu pekerja juga menghadapi halangan dalam memperoleh kemahiran digital baharu memandangkan kos latihan yang agak tinggi selain akses terhad kepada sumber pembelajaran, khususnya di kawasan luar bandar, ini kekal sebagai halangan yang ketara.
Tinjauan Economist Impact menekankan sekitar 39 peratus pekerja menyatakan kos kursus yang mahal sebagai cabaran utama.
Kerjasama antara badan kerajaan, institusi pendidikan dan pemain industri adalah kritikal bagi merapatkan jurang kemahiran.
Menyelaraskan program latihan dengan keperluan industri akan membantu Malaysia membina tenaga kerja yang mampu memacu ekonomi digitalnya ke hadapan, katanya.
Heriot-Watt University Malaysia dalam usahanya untuk meluaskan akses kepada pendidikan, kini menawarkan biasiswa sulung sebanyak 30 peratus untuk pelajar yang mendaftar dalam Sistem Maklumat BSc (Hons) dengan program Analitis Data pada Januari 2025.
Biasiswa ini direka untuk menjadikan pendidikan tinggi lebih mudah diperolehi selain menarik pelbagai kumpulan berbakat yang mahu menyumbang kepada tenaga kerja digital yang sedang berkembang di Malaysia.
Dengan mengurangkan beban kewangan, biasiswa ini membolehkan pelajar memberi tumpuan kepada pengajian mereka sambil bersiap untuk kerjaya dalam bidang analisis data.
Ia juga merupakan sebahagian daripada inisiatif yang lebih luas bagi menangani jurang kemahiran dalam bidang berkenaan dan melengkapkan pelajar dengan kecekapan yang diperlukan untuk memenuhi tuntutan pasaran pekerjaan yang berkembang.
Untuk maklumat lanjut, boleh layari Heriot-Watt University Scholarships - Heriot-Watt University Malaysia.
-- BERNAMA