BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad Hasan  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

MYEG, MYIDSSB Bekerjasama Perangi Penipuan Dalam Talian Dengan Blockchain

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- MY E.G. Services Bhd (MYEG) mengumumkan kerjasama strategik dengan MyDigital ID Solutions Sdn Bhd (MYIDSSB) bagi mewujudkan ekosistem identiti digital nasional yang dikuasakan oleh blokchain iaitu MyDigital ID Superapp, bertujuan memerangi penipuan dalam talian.

Dalam satu kenyataan, MYEG berkata MyDigital ID Superapp akan menyediakan penyelesaian yang lancar, selamat dan berskala untuk menyepadukan pengurusan identiti digital bagi penyedia-penyedia perkhidmatan komersial.

Dibina di atas Infrastruktur Blockchain Malaysia – inisiatif nasional di bawah agensi Penyelidikan dan Pembangunan Gunaan Nasional Malaysia, MIMOS – platform ini menawarkan set alat yang komprehensif termasuk e-dompet, penyiaran berita dan persekitaran pembangunan perisian inovasi terbuka untuk perniagaan dan penyedia perkhidmatan memanfaatkan MyDigital ID.

“Lebih penting lagi, inisiatif ini tepat pada masanya, kerana ia muncul di tengah-tengah peningkatan seruan daripada pemimpin dan penggubal dasar di pelbagai acara peringkat menteri China-ASEAN untuk penubuhan standard digital yang boleh dikendalikan dan sistem pengesahan identiti berasaskan blokchain untuk melindungi keselamatan dalam talian dan memerangi penipuan.

“MYEG melalui rangkaian blockchain awam Layer One Zetrix, menawarkan penyelesaian ID global paling komprehensif, menyokong bukan sahaja MyDigital ID tetapi juga ID digital warga China dan entiti perniagaan, serta World ID rangkaian dunia,” katanya.

Penipuan terus memberi bencana kewangan dan emosi di seluruh Malaysia, dengan Laporan State of Scam 2024 baru-baru ini mendedahkan kerugian sebanyak RM54.02 bilion (US$12.8 bilion) sepanjang tahun lalu.

Angka ini bersamaan dengan 3.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar negara, menekankan keperluan mendesak untuk tindak balas yang lebih kukuh terhadap penipuan.

Di tempat lain, penipu siber di Asia Tenggara mencuri sehingga US$37 bilion pada 2023, dengan peningkatan ketara dalam jenayah yang didorong oleh kecerdasan buatan.

-- BERNAMA