BERITA TERKINI   Wartawan perlu dibenarkan bekerja secara profesional dengan pendekatan lebih berhemah oleh pihak berkuasa - Teo Nie Ching | Pihak berkuasa harus mengutamakan dialog berbanding penahanan dan menyelesaikan pertikaian melalui Majlis Media Malaysia untuk menambah baik perundangan kewartawanan -Teo Nie Ching | Forum Media HAWANA penting, memberi ruang untuk mencorakkan masa depan kewartawanan - Teo Nie Ching | Tabung Kasih@HAWANA beri manfaat kepada 728 pengamal media, jumlah sumbangan sebanyak RM1.94 juta setakat 30 April 2026 - Teo Nie Ching | Cabaran dalam industri media hari ini memerlukan respons bersama melalui dialog, perkongsian dan komitmen kolektif - KPE Bernama | 

Niaga Hadapan FBM KLCI Dijangka Alami Dagangan Kecil Minggu Depan

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mengalami dagangan dalam julat kecil berikutan tempoh dagangan singkat susulan cuti umum sempena perayaan.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pihaknya menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat 1,560 hingga 1,580.

“Kami menjangkakan dagangan minggu hadapan lengang berikutan cuti umum sempena perayaan Tahun Baharu Cina, menjejaki pergerakan pasaran tunai dan menjadikan indeks berada dalam julat kecil,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pelabur dijangka mengambil pendekatan berhati-hati minggu depan sementara menunggu hasil mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan Amerika Syarikat.

"Minggu dagangan yang singkat mungkin menjejaskan aktiviti pasaran, dengan jumlah dagangan dijangka tidak banyak berubah dan pergerakan pula mungkin terhad,” katanya.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, Januari 2025 susut 7.5 mata kepada 1,559.5; Februari 2025 turun sembilan mata kepada 1,561.5; Mac 2025 berkurangan lapan mata kepada 1,544.5; dan Jun 2025 menguncup 9.5 mata kepada 1,552.0.

Jumlah dagangan melonjak kepada 72,443 lot daripada 46,659 lot minggu lepas, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 70,293 kontrak daripada 44,886 kontrak.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, indeks utama meningkat 7.01 mata kepada 1,573.73 daripada 1,566.72 minggu lepas.

-- BERNAMA