BERITA TERKINI   Polis buka kertas siasatan susulan laporan palsu kemangkatan Sultan Kelantan - Ketua Polis Kelantan | Kerajaan pertimbang wajibkan label ‘AI generated’ bagi kandungan digital di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian - Fahmi | Pihak berkuasa perlu siasat kesahihan dokumen minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang tular - Fahmi | Bangkai helikopter PDRM yang terhempas di Sungai Pulai dijangka dinaikkan esok atau lusa dengan bantuan TLDM dan APMM - Komander PGU  | Kemalangan helikopter: Lima mangsa termasuk dua di ICU Hospital Sultanah Aminah stabil - Komander PGU | 

Bursa Malaysia Lantik Fad'l Mohamed Sebagai CEO Baharu

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd (Bursa Malaysia) melantik Datuk Fad’l Mohamed sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) yang baharu berkuat kuasa 1 Mac 2025.

Dalam kenyataan hari ini, Bursa Malaysia berkata Fad’l akan mengambil alih kepimpinan bursa susulan persaraan Datuk Muhamad Umar Swift yang akan datang dan telah berkhidmat sebagai CEO pengendali bursa saham itu sejak Februari 2019.

Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata pengalaman Fad’l dalam pasaran modal dan perbankan pelaburan menjadikan beliau pilihan yang tepat untuk menerajui Bursa Malaysia menuju masa depan.

“Kami yakin dengan kepakaran beliau untuk terus memacu pertumbuhan dan kejayaan bursa serta pasaran,” katanya.

Fad’l, 57, yang kini merupakan Pengarah Urusan Perbankan Borong Kumpulan RHB Bank Bhd memiliki pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang perundangan, pasaran modal dan perbankan pelaburan.

Sebelum ini, beliau memegang jawatan CEO Maybank Investment Bank Bhd. Kerjaya beliau bermula sebagai peguam di Rashid & Lee pada 1991 sebelum menyertai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 1993.

“Selepas itu, beliau bertugas di firma perbankan pelaburan, Dresdner Kleinwort Benson.

“Pada 2004, beliau menubuhkan Maestro Capital Sdn Bhd, penasihat kewangan korporat berlesen yang menawarkan nasihat mengenai penggabungan dan pengambilalihan, penjanaan modal dan tawaran awam permulaan (IPO) sehingga 2015 apabila beliau menyertai Maybank Investment Bank,” katanya.

-- BERNAMA