BERITA TERKINI   AEMM: Malaysia bantah tindakan pihak gunakan perdagangan sebagai senjata menekan negara tertentu terutama negara kecil - Mohamad | AEMM: ASEAN, EU gesa pihak terlibat konflik global segera kembali ke meja rundingan bagi tamatkan peperangan - Mohamad | Nestle (M) Bhd catat untung bersih lebih tinggi sebanyak RM205.1 juta pada suku pertama 2026 | Kemelut politik di Negeri Sembilan tidak jejas hubungan, pentadbiran Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan - Fahmi | Syarikat teknologi asing wajib sediakan latihan kepada bakat tempatan - PM Anwar | 

Bursa Malaysia Dibuka Rendah

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka lebih rendah pada Selasa dalam mod berhati-hati, menjejaki penurunan semalaman Wall Street disebabkan penjualan besar-besaran dalam sektor teknologi, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9.08 pagi, Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 12.36 mata kepada 1,546.61 daripada 1,558.97 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka lebih rendah sebanyak 1.53 mata pada 1,557.44.

Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 325 berbanding 71 dengan 187 kaunter tidak berubah, 1,716 tidak diniagakan dan 37 digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 167.0 juta unit bernilai RM127.36 juta.

Ketua Penyelidik Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee berkata Nasdaq dengan penilaian tingginya iaitu Nvidia, menanggung beban penjualan susulan kemunculan platform kecerdasan buatan (AI) baharu dari China, DeepSeek.

Di peringkat tempatan, beliau berkata keadaan kurang memberangsangkan apabila Bursa Malaysia merosot di bawah paras 1,560 semalam berikutan aliran keluar asing yang ketara, mungkin menjelang cuti panjang sambutan Tahun Baharu Cina.

“Walaupun begitu, kami percaya pemburuan saham murah dijangka berlakau dalam masa terdekat memandangkan penilaian terhadap pasaran murah pada masa ini adalah pada 14.5 kali ganda.

"Oleh itu, kami menjangkakan indeks akan berada dalam aliran antara 1,550 dan 1,560 hari ini," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank dan Public Bank susut dua sen, masing-masing kepada RM10.34 and RM4.36, CIMB tidak berubah pada RM8.03, IHH Healthcare jatuh 14 sen kepada RM7.09 dan Tenaga Nasional berkurangan 18 sen kepada RM13.26.

Bagi saham aktif, YTL Power menguncup 22 sen kepada RM3, Nationgate jatuh 15 sen kepada RM1.73, Advance Synergy merosot 0.5 sen kepada sembilan sen, YTL Corp jatuh lapan sen kepada RM1.85 dan PA Resources berkurangan satu sen kepada 24.5 sen. 

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 100.75 mata kepada 11,796.59, Indeks FBMT 100 berkurangan 106.75 mata kepada 11,489.52, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 130.83 mata kepada 11,598.96, Indeks FBM ACE merosot 22.90 mata kepada 5,094.51 dan Indeks FBM 70 turun 217.72 mata kepada 17,419.54.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 35.55 mata kepada 18,894.01, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 1.55 mata kepada 163.91, Indeks Perladangan berkurangan 25.60 mata kepada 7,287.94 dan Indeks Tenaga turun 9.38 mata kepada 814.92.

-- BERNAMA