BERITA TERKINI   Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 - DOSM | Lebihan dagangan meningkat kepada RM40.4 bilion pada Mei 2026, sekali gus mencatat lebihan selama 73 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 - DOSM | Eksport Malaysia tumbuh 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion, import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion pada Mei 2026 - DOSM | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion pada Mei 2026, didorong pertumbuhan eksport lebih kukuh - DOSM | DBKL peruntuk RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga bangunkan semula 287 lokasi gerai penjaja di ibu negara - Hannah | 

Pasaran Getah Dijangka Stabil Minggu Depan

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Harga pasaran getah dijangka diniagakan stabil pada minggu depan, dengan dinamik bekalan dan permintaan saling mengimbangi disebabkan hujan berterusan di negara pengeluar getah dan cuti panjang sempena Tahun Baru Cina, kata pakar industri Denis Low.

Beliau berkata berdasarkan penggunaan semasa, akan berlaku aktiviti pembelian dan penyimpanan stok secara berkala. 

"Harga dijangka kekal mendatar dengan kecenderungan untuk meningkat terutamanya disebabkan cuaca luar biasa di kawasan pengeluar getah yang akan menjejaskan pengeluaran getah dalam tempoh ini," katanya kepada Bernama.

Mengikut ramalan Jabatan Meteorologi Thailand (TMD), Low berkata terdapat jangkaan penurunan suhu yang ketara di seluruh Thailand, terutamanya di kawasan timur laut.

Beliau berkata apabila monsun Asia Tenggara semakin meningkat ia akan membawa hujan di bahagian selatan dan suhu yang lebih sejuk beserta angin kencang di kawasan utara.

"TMD menasihatkan penduduk supaya menjaga kesihatan berikutan cuaca yang semakin sejuk.

"Pengeluaran getah akan terus terjejas akibat hujan lebat, yang berpotensi menyebabkan kekurangan bekalan," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga menjangkakan pasaran getah diniagakan dengan trend menurun secara mingguan disebabkan petunjuk bercampur-campur daripada pasaran niaga hadapan getah serantau yang bertindak balas terhadap prestasi ekonomi Amerika Syarikat dan China yang tidak seimbang.

Beliau berkata sentimen akan mendapat tekanan daripada pengukuhan ringgit berbanding dolar AS dan harga minyak mentah yang merosot berikutan pengumuman tarif terkini oleh AS.

"Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dihadkan oleh jangkaan langkah rangsangan ekonomi China akan datang bagi menangani cabaran ekonomi, di samping keputusan Rizab Persekutuan AS untuk mengekalkan kadar faedah," katanya.

 Minggu ini, pasaran getah KL ditutup dari 28-30 Jan, 2025 sempena cuti Tahun Baru Cina dan dibuka semula pada 31 Jan, 2025.

Berdasarkan asas Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) susut 7.0 sen kepada 884 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun 4.0 sen kepada 677 sen sekilogram.

-- BERNAMA