BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad Hasan  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

FIVE Petroleum Sumbang RM1 Juta Untuk Pendidikan, Kebajikan

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- FIVE Petroleum Malaysia (FIVE Petroleum) menyumbang RM1 juta kepada pelbagai pertubuhan pendidikan, kebajikan, sukan dan keagamaan dalam usaha memperkasakan masyarakat.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif FIVE Petroleum Datuk Seri Dr King Lim Chin Fui berkata sumbangan itu termasuklah RM500,000 yang disalurkan kepada Yayasan Pendidikan Kolej Tunku Abdul Rahman (TARC).

Sumbangan disalurkan pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2025 anjuran syarikat berkenaan, baru-baru ini.

“Sumbangan ini membuktikan komitmen FIVE Petroleum dalam memperkasakan masyarakat melalui pendidikan dan kebajikan.

“Di FIVE, kami percaya bahawa kejayaan mesti dikongsi dan pembangunan mesti inklusif. Kami bertekad untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan membina masa depan yang lebih cerah untuk semua rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina berkenaan diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat  antaranya Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pelaburan, Industri dan Perdagangan Uzbekistan Laziz Kudratov dan Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan Ilham Tuah Illias, serta Timbalan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) Datuk Looi Hai Ting.

Pada majlis itu Lim yang juga Presiden Perikatan Perniagaan Malaysia-Uzbekistan turut menjelaskan visinya untuk memperkukuh perdagangan Malaysia dengan pasaran global, selain kepentingan kerjasama antara Malaysia sebagai negara ASEAN dan Uzbekistan sebagai anggota Negara Bebas Komanwel (CIS).

“Presiden Uzbekistan dijangka akan mengunjungi Malaysia dalam masa terdekat dan berharap pengumuman penting akan dibuat bagi memperkukuh hubungan ekonomi kedua-dua negara, tambahan pula FIVE Petroleum komited untuk menyumbang dan berkolaborasi dalam sektor tenaga dengan negara-negara CIS melalui Uzbekistan,” katanya.

-- BERNAMA