BERITA TERKINI   Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Malaysia Di Kedudukan Baik Dengan Pusat Data Tersedia AI - Juwai IQI

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk dunia yang mana kecerdasan buatan (AI) mendominasi pembangunan pusat data memandangkan tidak semua pusat data sesuai untuk menyokong ledakan AI yang akan datang, kata agensi hartanah global Juwai IQI.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kashif Ansari berkata pusat data yang dibina untuk menyokong teknologi maklumat perusahaan, pengkomputeran awan dan beban kerja tujuan umum tidak dioptimumkan untuk permintaan yang lebih tinggi yang diperlukan oleh AI.

Beliau berkata pusat data mungkin kekurangan kuasa, penyejukan dan keperluan bagi rangkaian AI.

“Sebaliknya, Malaysia mempunyai rangkaian pusat data yang dirancang bernilai berbilion dolar yang sebahagian besarnya tersedia untuk AI.

“Sokongan daripada inisiatif kerajaan dan pelaburan besar daripada syarikat-syarikat seperti Nvidia, ByteDance, Google, AWS, dan Microsoft telah memastikan perkara (pusat data) ini berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kashif berkata rangkaian pembangunan pusat data Malaysia terdiri daripada 1.2 gigawatt, mewakili pertumbuhan sebanyak 600 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata kira-kira 55 peratus projek baharu pusat data dirancang untuk kawasan di Kuala Lumpur, dan 45 peratus di Johor.

“Pembina pusat data sedang menyesuaikan projek mereka untuk aplikasi AI.

"Lihatlah YTL Power, bangunkan pusat data hijau di Johor yang akan menggabungkan penyejukan cecair terus ke cip termaju untuk membolehkan ketumpatan kuasa tinggi yang diperlukan oleh pemprosesan AI," tambahnya.

Juwai IQI juga berkata Blackstone, salah satu pelabur kewangan terbesar dunia dalam infrastruktur AI mendapati dunia perlu membelanjakan US$2 trilion (US$1=RM4.47) untuk pusat data dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menguasai bahagian penting pertumbuhan ini, dan Johor merupakan pasaran di Asia Tenggara yang paling pesat berkembang,” tambahnya.

-- BERNAMA