BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad Hasan  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

Pembuat Sarung Tangan, Pemain Semikonduktor Dijangka Raih Manfaat Pengenaan Tarif AS 

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Pembuat sarung tangan dan penggiat semikonduktor Malaysia dijangka menerima manfaat daripada pengenaan tarif oleh Amerika Syarikat (AS), kata Kenanga Investment Bank Bhd.

Dalam nota penyelidikan hari ini, katanya pembuat sarung tangan tempatan akan mendapat manfaat daripada diskaun harga jualan purata (ASP) yang diperluaskan terhadap import sarung tangan China pada 2025 berikutan pengenaan tarif tambahan 10 peratus oleh AS kepada 50 peratus pada masa ini bagi eksport sarung tangan China ke negara itu.

“Kenaikan tarif sebanyak 50 peratus dengan tambahan 10 peratus dijangka meningkatkan ASP pengeluar sarung tangan China kepada US$27-US$29 setiap 1,000 keping (daripada anggaran ASP asas pada US$17-US$19 setiap 1,000 keping),” katanya.

Sehubungan itu, katanya ini meletakkan ASP pengeluar sarung tangan Malaysia antara US$18 hingga US$20 setiap 1,000 keping dengan diskaun tinggi antara 25 peratus hingga 32 peratus berbanding alternatif dari China.

Menurut bank pelaburan itu Hartalega Holdings Bhd adalah penerima manfaat terbesar berikutan pasaran AS kebiasaannya menyumbang sebanyak 50 peratus daripada jumlah jualannya.

Pembeli telah melaksanakan kepelbagaian sumber sebagai strategi pengurusan risiko dengan memilih untuk membeli dari negara lain termasuk Malaysia, katanya.

Menurutnya langkah ini berpotensi memberi manfaat kepada penggiat Malaysia antaranya Hartalega, Kossan Rubber Industries Bhd, Top Glove Corporation Bhd dan Supermax Corporation Bhd.

Mengenai manfaat yang diraih semikonduktor daripada tarif AS, katanya Malaysia selaku pemain utama pemasangan dan ujian semikonduktor sumber luar (OSAT) dan perkhidmatan semikonduktor belakang akan mendapat manfaat daripada kepelbagaian rantaian bekalan.

 Kenanga Investment Bank berkata ini berikutan firma teknologi global boleh mempercepat penggunaan strategi China+1 yang lebih agresif untuk mengurangkan pergantungan kepada China.

“Dalam jangka sederhana, syarikat Malaysia dalam kedudukan baik untuk memanfaatkan peralihan struktur dalam rantaian bekalan global,” katanya.

Bagaimanapun Kenanga Investment Bank berkata Malaysia mungkin mengalami impak berbeza-beza bergantung kepada penyesuaian rantaian bekalan, dasar perdagangan dan dinamik geopolitik yang lebih luas.

Pada Sabtu lepas, Presiden AS Donald Trump menandatangan perintah eksekutif yang mengenakan tarif 10 peratus terhadap import barangan China berkuat kuasa 4 Feb 2025.

-- BERNAMA