BERITA TERKINI   Tiada unsur buli babitkan kes pelajar tingkatan empat yang meninggal dunia di sebuah sekolah di Seremban - KP Pendidikan | Kerjasama itu membuka ruang penglibatan lebih strategik pada masa depan termasuk penerokaan potensi besar sektor gas asli Turkmenistan, antara pemilik rizab gas terbesar dunia - PMO | PM Anwar, Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov hari ini saksikan pemeteraian kerjasama strategik antara Petronas dan pihak berkuasa Turkmenistan - PMO | Pencapaian ini hadir sempena 30 tahun kerjasama Malaysia, Turkmenistan dalam sektor tenaga, yang menjadi antara tonggak penting hubungan dua hala kedua-dua negara - PMO | Kerjasama strategik antara Petronas, pihak berkuasa Turkmenistan buka lembaran baharu dalam hubungan ekonomi dan tenaga antara Malaysia dan Turkmenistan - PMO | 

KNM Group, Meridian Rangka Pelan Untuk Keluar Daripada Status PN17

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Syarikat berstatus PN17 (Nota Amalan 17), KNM Group Bhd, masih dalam proses merangka pelan untuk menyelaraskan keadaan kewangannya, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Ia adalah susulan pengumuman KNM pada 17 Disember, 2024 bahawa anak syarikat milik penuh Borsig GmbH dan Deutsche KNM GmbH serta syarikat lain dalam Kumpulan Borsig telah memeterai perjanjian kemudahan baharu dengan Landesbank Baden-Württemberg dan institusi kewangan lain yang mengambil bahagian.

Kemudahan kredit itu akan memastikan Kumpulan Borsig dapat meneruskan operasinya seperti biasa.

KNM juga berkata ia dalam proses mengenal pasti pengganti bekas penasihat utamanya, M&A Securities Sdn Bhd yang menarik diri pada 22 Oktober, 2024.

Dalam laporan tahunan 2023 dikeluarkan pada April 2024, syarikat itu berkata M&A Securities Sdn Bhd dilantik sebagai penasihat utama untuk membantu merangka pelan penyusunan semula untuk dikemukakan kepada Bursa Malaysia.

Pada November tahun lepas, Bursa Malaysia Securities telah memberikan lanjutan masa enam bulan kepada KNM sehingga 30 April, 2025 untuk menyerahkan pelan penyusunan semulanya kepada pihak berkuasa kawal selia.

Selain itu, pada 31 Oktober, 2022, syarikat itu menjadi penerbit tersenarai yang terjejas di bawah PN17 menurut Perenggan 8.04 dan Perenggan 2.1(e) PN17 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities.

Sementara itu dalam makluman berasingan, sebuah lagi syarikat berstatus PN17, Meridian Bhd berkata ia juga sedang mengusahakan pelan penyelarasan untuk menangani keadaan kewangannya.

Pemaju hartanah itu berkata Bursa Malaysia telah memberikan lanjutan masa sehingga 25 Mac, 2025 untuk menyerahkan pelan itu kepada pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan.

"Butiran lanjut akan diumumkan apabila terdapat sebarang perkembangan mengenai perkara tersebut," katanya.

-- BERNAMA