Malaysia Perkukuh Tenaga Kerja Ladang Pastikan Pengeluaran Sawit Konsisten - Johari
KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Kerajaan, menerusi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), komited memastikan setiap ladang sawit mempunyai tenaga kerja yang mencukupi supaya pengeluaran konsisten dan tidak terjejas.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kekurangan pekerja boleh menyebabkan buah sawit yang telah masak tidak dapat dituai, sekali gus menjejaskan pengeluaran.
“Bagi pekebun kecil, kerajaan akan memastikan mereka menggunakan bahan penanaman yang baik, (mengamalkan) amalan pertanian yang baik supaya hasil meningkat dan kos pengeluaran dapat dikurangkan selain dapat lebih banyak permintaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Edwin anak Banta (GPS-Selangau) mengenai langkah kementerian menangani penurunan harga kelapa sawit termasuk strategi untuk menstabilkan harga, meningkatkan permintaan dan mencari pasaran baharu.
Johari turut menegaskan harga komoditi tidak boleh ditetapkan oleh mana-mana pihak kerana ia bergantung pada faktor penawaran dan permintaan.
Katanya faktor ini sangat penting untuk memastikan pengeluaran meningkat dan kos menurun apabila buah yang dihasilkan bernilai tinggi.
Menjawab soalan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) mengenai keberkesanan Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) serta Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) dalam mengurangkan kebergantungan pada pekerja asing, Johari berkata mekanisasi diperkenalkan sebagai penyelesaian kerana sektor ini masih kurang diminati oleh tenaga kerja tempatan.
“Oleh kerana kerja-kerja ini masih tidak diminati oleh tenaga kerja tempatan, mekanisasi diperkenalkan sebagai penyelesaian. Kini, dengan penggunaan teknologi, kebergantungan pada tenaga buruh semakin berkurangan tetapi masih belum mencukupi,” katanya.
Beliau berkata banyak inovasi telah diperkenalkan dalam sektor perladangan tetapi ada yang tidak praktikal untuk pelaksanaan berskala besar.
Selain mekanisasi, beliau menekankan kepentingan kadar penanaman semula dalam memastikan produktiviti ladang yang berterusan.
“Jika kita ingin meningkatkan hasil, kita mesti mencapai kadar penanaman semula sekurang-kurangnya empat peratus.
“Ketika ini, kadar tersebut hanya sekitar dua hingga tiga peratus, menunjukkan banyak pokok sawit yang sudah tua,” katanya.
-- BERNAMA