BERITA TERKINI   Syarikat Malaysia dan Uzbekistan digesa jalin kerjasama baharu raih peluang sinergi yang ditawarkan kedua-dua negara - Tengku Zafrul | Beberapa MoU dimeterai antara syarikat Malaysia dan Uzbekistan dalam projek semikonduktor, automotif, tenaga, kimia, makanan dan farmaseutikal - Tengku Zafrul | Uzbekistan pelawa Petronas sertai aktiviti minyak dan gas di negara itu -- PM Anwar | Malaysia, Uzbekistan perlu tingkat perdagangan dan pelaburan dua hala dalam sektor seperti teknologi makanan, pertanian, semikonduktor, tenaga hijau dan kenderaan elektrik -- PM Anwar | Isu AS akan 'ambil alih' Gaza: Pendirian Malaysia terhadap Gaza kekal, selari dengan negara Islam lain - PM Anwar | 

PKNPk, Gamuda Bekerjasama Tangani Isu Kekurangan Air Kritikal Di Perak Utara

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Gamuda Bhd menandatangani perjanjian pengaturan eksklusif dengan matlamat untuk membangunkan infrastruktur dalam menangani masalah kekurangan air yang kritikal di Perak Utara.

Dalam satu kenyataan bersama, PKNPk dan Gamuda berkata dalam memeterai perjanjian pengaturan eksklusif ini, PKNPk bertindak dalam mandatnya sebagai agensi utama negeri yang diamanahkan menerajui pembangunan ekonomi dan pertumbuhan sosioekonomi negeri Perak, dan kedua-dua pihak akan meneruskan usaha sama secara rasmi kemudiannya.

Mereka berkata perjanjian ini berhasrat untuk memudahkan pemindahan air mentah dari Sungai Perak ke Bukit Merah dan membangunkan infrastruktur yang diperlukan untuk pengagihan air terawat, memastikan kelestarian air jangka panjang untuk kawasan itu.

Pengarah Eksekutif Gamuda Engineering Faris Mohd Yusof berkata Gamuda berbesar hati menyertai perjanjian ini untuk bersama-sama menyampaikan mandat negeri dalam penyelesaian infrastruktur air lestari di Perak Utara, memastikan sumber air bersih jangka panjang dan boleh dipercayai untuk negeri itu.

“Kami membawa pengalaman luas dalam infrastruktur berkaitan air kepada perkongsian ini, setelah berjaya melaksanakan projek serupa seperti antara lain, Skim Bekalan Air Fasa 3 Sungai Selangor dan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART).

"Kepakaran kami dalam membina loji rawatan air, retikulasi yang berkaitan, dan terowong air adalah nilai utama yang kami tidak sabar-sabar untuk menyumbang kepada inisiatif ini," katanya.

Faris berkata Gamuda secara konsisten mengutamakan bakat tempatan dan pembangunan rantaian bekalan yang terbukti dalam pasukan pembinaannya dan penggunaan inovasi digital dalaman.

“Ini termasuk Autonomous Tunnel Boring Machine (TBM), BIM-Augmented Reality (BIMAR) yang memenangi anugerah dan teknologi-teknologi pembinaan digital yang lain.

“Menyokong pembangunan tenaga kerja dan komuniti tempatan akan kekal menjadi tumpuan kami, terutamanya di negeri asal kami di Perak,” katanya.

Ketua Eksekutif PKNPk Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata pihaknya komited untuk menangani isu paling mendesak di Perak iaitu menyelesaikan cabaran air yang kritikal dan memastikan keselamatan air untuk penduduk menjelang 2029.

“Dengan populasi yang semakin meningkat dan ekonomi yang semakin berkembang, projek air ini penting bagi memenuhi permintaan domestik dan industri yang semakin meningkat untuk air bersih.

“Apabila projek ini siap, ia juga akan mengukuhkan pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dan meningkatkan pengairan bagi pertanian di daerah ini,” katanya.

Redza berkata inisiatif itu mewakili satu langkah penting ke arah pembangunan lestari dan sejajar dengan program Tonggak ke-12 Perak Sejahtera 2030, khususnya di bawah Tonggak 12: Sumber Air dan Tenaga Boleh Baharu.

“Penjajaran ini menekankan komitmen kami untuk menyepadukan penyelesaian tenaga boleh baharu dan pengurusan sumber air yang lestari ke dalam rancangan pembangunan kami.

“Kami yakin perjanjian kami dengan Gamuda, sebuah syarikat yang berakar umbi di Ipoh, akan meningkatkan pembangunan kemahiran dengan ketara dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan di Perak,” katanya.

Redza menambah dengan menggabungkan kepakaran pengurusan projek PKNPk dengan keupayaan teknikal termaju Gamuda, mereka bersedia untuk menyampaikan penyelesaian berkekalan yang akan memanfaatkan komuniti di seluruh Perak.

Kenyataan itu berkata PKNPk dan Gamuda akan bersama-sama menguruskan semua komponen pembangunan dengan menggabungkan kepakaran mereka yang tersendiri.

“Ini termasuk menyelia reka bentuk, kejuruteraan awam dan struktur, utiliti, mitigasi risiko, dan pelaksanaan program-program latihan tenaga kerja dan teknologi tempatan.

“Inisiatif ini mencerminkan pendekatan proaktif kerajaan negeri terhadap penyampaian projek, dengan tumpuan yang kukuh untuk memperkasakan pertumbuhan ekonomi tempatan dan memastikan kecekapan projek,” katanya.

Ia menambah dengan memanfaatkan kepakaran tempatan dan keupayaan kejuruteraan khusus, PKNPk dan Gamuda bersedia untuk memberikan manfaat sosio-ekonomi yang ketara melalui kerjasama strategik itu.

-- BERNAMA