BERITA TERKINI   Tan Sri Abu Sahid mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan pecah amanah RM313 juta dan 13 tuduhan pengubahan wang haram RM139.2 juta berkaitan projek MEX II | Majlis Sejarawan Negara berperanan berwacana, beri nasihat kepada kerajaan untuk pertingkat literasi sejarah - PM Anwar | PM Anwar mahu usaha pertingkat pemahaman sejarah diperkasa, tanam semangat cintakan negara dalam kalangan generasi muda | Golongan muda perlu dilatih dalam pelbagai disiplin ilmu merangkumi bahasa, budaya dan AI namun tidak tinggalkan soal nilai - PM Anwar | Sejarah harus mendidik dari segi akhlak dan tidak pinggirkan soal kebenaran dan ketelusan - PM Anwar | 

Scomi Energy Dinyahsenarai Pada 12 Feb Setelah Bursa Tolak Rayuan Lanjutan Masa

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Bursa Securities Bhd telah menolak permohonan Scomi Energy Services Bhd untuk lanjutan masa bagi penyerahan pelan penyusunan semulanya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Scomi Energy yang diklasifikasikan sebagai syarikat Nota Amalan 17 (PN17) pada Januari 2020, akan dikeluarkan daripada Senarai Rasmi Bursa Securities pada 12 Feb, 2025.

Sekuriti syarikat, yang kini didepositkan dengan Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd mungkin kekal disimpan dengan Bursa Depository walaupun dinyahsenarai.

Ia bukanlah mandatori bagi sekuriti syarikat yang telah dinyahsenarai dikeluarkan daripada Bursa Depository, kata makluman itu.

Sebagai alternatif, pemegang saham yang berhasrat untuk memegang sekuriti mereka dalam bentuk sijil fizikal boleh mengeluarkan sekuriti itu daripada akaun sistem depositori pusat (CDS) mereka yang dikekalkan dengan Bursa Depository pada bila-bila masa selepas penyahsenaraian.

Ini boleh dilaksanakan oleh pemegang saham yang mengemukakan borang permohonan untuk pengeluaran di bawah prosedur yang ditetapkan oleh Bursa Depository.

-- BERNAMA