BERITA TERKINI   Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 - DOSM | Lebihan dagangan meningkat kepada RM40.4 bilion pada Mei 2026, sekali gus mencatat lebihan selama 73 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 - DOSM | Eksport Malaysia tumbuh 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion, import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion pada Mei 2026 - DOSM | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion pada Mei 2026, didorong pertumbuhan eksport lebih kukuh - DOSM | DBKL peruntuk RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga bangunkan semula 287 lokasi gerai penjaja di ibu negara - Hannah | 

Niaga Hadapan MSM Meneruskan Keuntungan Berikutan Unjuran Output Yang Lemah

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup lebih tinggi pada Khamis untuk hari kedua berturut -turut selepas didorong oleh jangkaan output yang lebih lemah. 

Peniaga minyak sawit David Ng menjelaskan pengukuhan harga turut disokong oleh harga minyak kacang soya yang lebih baik semasa waktu perdagangan Asia. “Kami menjangkakan harga (komoditi) untuk meraih sokongan pada paras RM4,350 dan rintangan pada RM4,480,” katanya kepada Bernama.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group dari Mumbai, Anilkumar Bagani turut melahirkan pandangan yang sama dengan berkata keadaan cuaca buruk di Malaysia dan Indonesia telah menjejaskan pengeluaran serta pengangkutan minyak sawit. Beliau juga menyatakan import minyak sawit India agak rendah dalam tempoh satu dekad pada Januari, meningkatkan jangkaan pembelian yang diperbaharui bagi menokok inventorinya sebelum kedatangan bulan Ramadan.

Pada penutup, kontrak Februari 2025 meningkat sebanyak RM65 kepada RM4,678 satu tan, Mac 2025 naik RM69 kepada RM4,508 dan April 2025 bertambah sebanyak RM69 kepada RM4,403.

Mei 2025 pula menyaksikan kenaikan berjumlah RM64 kepada RM4,314 satu tan, Jun 2025 untung RM57 kepada RM4,237 dan Julai 2025 melonjak RM50 kepada RM4,179.

Jumlah dagangan adalah lebih mantap kepada 80,473 lot berbanding 74,758 lot yang direkodkan semalam, manakala kepentingan terbuka melebar kepada 223,563 kontrak daripada 221,110 sebelum ini. 

 Harga MSM fizikal untuk Februari Selatan meningkat sebanyak RM70 kepada RM4,730 satu tan.

-- BERNAMA