BERITA TERKINI   Tiada unsur buli babitkan kes pelajar tingkatan empat yang meninggal dunia di sebuah sekolah di Seremban - KP Pendidikan | Kerjasama itu membuka ruang penglibatan lebih strategik pada masa depan termasuk penerokaan potensi besar sektor gas asli Turkmenistan, antara pemilik rizab gas terbesar dunia - PMO | PM Anwar, Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov hari ini saksikan pemeteraian kerjasama strategik antara Petronas dan pihak berkuasa Turkmenistan - PMO | Pencapaian ini hadir sempena 30 tahun kerjasama Malaysia, Turkmenistan dalam sektor tenaga, yang menjadi antara tonggak penting hubungan dua hala kedua-dua negara - PMO | Kerjasama strategik antara Petronas, pihak berkuasa Turkmenistan buka lembaran baharu dalam hubungan ekonomi dan tenaga antara Malaysia dan Turkmenistan - PMO | 

Indeks Pengeluaran Perindustrian Naik 4.6 Peratus Pada Disember 2024

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat sebanyak 4.6 peratus bagi Disember 2024, dipacu oleh pengembangan dalam kesemua sektor, kata Jabatan Perangkaan (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan itu disokong oleh sektor pembuatan yang meningkat pada 5.8 peratus berbanding 4.6 peratus dicatatkan pada November 2024.

Pada masa sama, sektor perlombongan pulih dengan mencatat positif 0.4 peratus (November 2024: -0.8 peratus manakala sektor elektrik tumbuh 3.5 peratus (November 2024: 3.9 peratus).

“Dibandingkan dengan bulan sebelumnya, IPP turun sebanyak 0.4 peratus daripada pertumbuhan 0.6 peratus pada bulan sebelumnya,” katanya.

Secara keseluruhan, Mohd Uzir berkata pada suku keempat 2024, IPP merekodkan pertumbuhan yang perlahan pada 3.4 peratus berbanding 3.9 peratus pada suku ketiga tahun sama.

Bagi prestasi tahun penuh 2024, IPP mencatat pertumbuhan 3.8 peratus berbanding 0.7 peratus pada 2023 dengan semua sektor merekodkan pertumbuhan positif.

Sementara itu, indeks harga seunit simen mencatat peningkatan antara 0.2 peratus hingga 2.9 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Januari 2025 berbanding bulan sebelumnya.

Mohd Uzir berkata indeks harga seunit besi susut 0.6 peratus hingga negatif 4.3 peratus bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Januari 2025 dengan penurunan tertinggi di Pahang (-4.3 peratus) dan diikuti dengan Sandakan (-2.8 peratus) dan Perak (-2.2 peratus).

“Indeks harga seunit keratan keluli dan logam juga turun antara negatif 0.2 peratus hingga negatif 2.7 peratus pada Januari 2025 berbanding bulan sebelumnya.

“Purata harga seunit besi, termasuk bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 bar “high tensile deformed” turun 0.7 peratus dengan purata harga RM3,563.76 bagi setiap tan metrik berbanding RM3,588.31 bagi Disember 2024,” katanya.

-- BERNAMA