Kinergy Terokai Sektor IPP, Peroleh 47.5 Peratus Kepentingan Dalam Jati Cakerawala
KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Kinergy Advancement Bhd (KAB) sedang meneroka sektor pengeluar tenaga bebas (IPP) dengan pengambilalihan kepentingan sebanyak 47.5 peratus bernilai RM35 juta dalam Jati Cakerawala Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh Pesaka Ventures Sdn Bhd (PVSB).
KAB melalui satu kenyataan hari ini berkata ia akan memainkan peranan sebagai salah satu pemaju projek, bersama dengan pihak berkepentingan lain, dalam penjanaan semula loji berkuasa 650 megawatt berkeluasan 37.5 hektar di pesisir pantai Perlis yang dimiliki oleh Teknologi Tenaga Perlis Consortium Sdn Bhd (TTPC), yang merupakan IPP terkemuka di Malaysia.
Loji tersebut telah pun menyelesaikan perjanjian pembelian tenaga 21 tahun dan telah ditamatkan pada Mac 2024.
KAB telah berjaya memperoleh perjanjian strategik ini dengan PVSB, yang telah dikenal pasti sebagai pemaju yang ideal untuk bekerjasama dalam membangunkan dan menjana semula tapak berkenaan.
“Nilai strategik dalam pengambilalihan ini berakar pada infrastruktur tenaga yang mantap yang telah dibangunkan sebelum ini. Kedudukannya yang berhampiran dengan talian penghantaran Tenaga Nasional Bhd berkapasiti 275-kilovolt dan saluran paip gas semenanjung (PGU) III, memastikan akses yang lancar ke pengagihan tenaga dan bekalan gas asli.
“Selain itu, ketersediaan sumber air di tapak ini mengesahkan bahawa tanah tersebut sangat sesuai untuk pembangunan sebuah loji tenaga baharu,” kata Timbalan Pengerusi Eksekutif KAB/Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Lai Keng Onn.
Setelah mentauliahkan loji tenaga baharu ini, KAB menjangkakan ia akan memberikan sumbangan yang signifikan dan mampan kepada pertumbuhan pendapatan kumpulan.
"Sebagai projek utama dalam penjanaan semula, penerokaan ini akan menguatkan kepakaran dan pengalaman KAB, memperkasakan kedudukannya bagi meneruskan pertumbuhan peluang dalam sektor tenaga,” katanya.
-- BERNAMA