BERITA TERKINI   Fahmi mahu beberapa siri latihan 'Train the Trainers' untuk Kempen Keselamatan Dalam Talian dilaksanakan sebelum Aidilfitri | BERNAMA, RTM diminta laksana kempen peringatan tanggungjawab melunaskan hutang - Fahmi | Syarikat penerbangan Sarawak akan dinamakan sebagai AirBorneo selepas pengambilalihan MASWings daripada MAG - Premier Abang Johari | 

Langkah Penyusunan Semula Bagi Pastikan Petronas Dapat Terus Sumbang Kepada Pembangunan Negara

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Langkah penyusunan semula Petronas adalah untuk memastikan syarikat minyak nasional itu dapat terus menyumbang kepada pembangunan negara, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Tan Sri Muhammad Taufik. 

Pada masa ini, Petronas mempunyai tenaga kerja seramai 52,000 orang dan 16,000 daripadanya adalah pemangkin utama.

Perubahan dan dinamik sektor minyak dan gas global menuntut Petronas membuat perubahan bagi mendepani cabaran masa depan, katanya sambil menambah ia merupakan proses yang telah lama tertangguh.

Sejak penubuhannya, Petronas telah menyumbang RM1.5 trilion dalam bentuk dividen, cukai jualan negeri, bayaran tunai, duti eksport dan kumpulan wang amanah negara.

“Petronas adalah sebuah syarikat minyak nasional (NOC) tetapi sentiasa beroperasi sebagai sebuah syarikat minyak antarabangsa (IOC). Pesaing kami juga telah membuat keputusan sukar yang sama,” katanya pada sesi taklimat kepada editor media di sini hari ini.

Beliau berkata di peringkat global, margin industri minyak dan gas telah berkurangan kepada 20 peratus daripada 40 hingga 45 peratus sebelum ini dan Petronas telah mengalami tekanan margin yang sama.

“Unjuran margin semasa juga boleh turun kepada 16 hingga 18 peratus,” katanya.

Tengku Muhammad Taufik berkata untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara, yang bermaksud melabur dan berkembang, misalnya dalam tenaga hijau, Petronas perlu mempunyai tenaga kerja yang bersesuaian untuk memenuhi permintaan pelanggannya.

“Petronas perlu menentukan jika ia akan terus kekal relevan, bukan sahaja di dalam negara tetapi juga dalam pasaran ia beroperasi dan terus melabur.

“Kami tidak boleh mempunyai tenaga kerja yang tidak bersesuaian untuk melaksanakan penyelesaian pakej yang berdaya maju yang diminta pasaran pada masa ini (melibatkan) tenaga mampu milik, selamat dan lebih mampan,” katanya.

Oleh itu, Tengku Muhammad Taufik menegaskan bahawa tanpa melaksanakan langkah sukar itu, ia akan menjejaskan kelangsungan Petronas.

Selepas mencatatkan pencapaian bersejarah menandakan 50 tahun penubuhannya, Petronas perlu terus berusaha untuk kekal sebagai sebuah organisasi berprestasi tinggi untuk memastikan daya tahannya pada masa depan – sebuah organisasi yang didorong oleh produktiviti, inovasi, kemampanan dan komitmen terhadap kecemerlangan, katanya.

Langkah penyusunan semula akan dilaksanakan secara wajar, katanya. 

Pada masa ini, perancangan berkaitan sedang dilaksanakan. Kakitangan akan dimaklumkan mengenainya pada separuh kedua tahun ini dan keseluruhan proses dijangka selesai pada akhir 2025.

“Mereka akan diberikan bantuan yang diperlukan,” katanya.

 Tengku Muhammad Taufik menegaskan dalam melaksanakan mandatnya seperti yang termaktub di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974, Petronas kekal komited sepenuhnya untuk terus mewujudkan nilai kepada pemegang sahamnya.

-- BERNAMA