BERITA TERKINI   Malaysia berupaya menarik jumlah perdagangan baharu dan menstabilkan rantaian bekalan serantau berikutan trend global semasa memindahkan tumpuan strategik ke arah Selat Melaka - Loke | Malaysia perlu membina ekonomi maritim berteraskan pelabuhan, infrastruktur tenaga dan digital serta kerjasama serantau - LokeĀ  | RM25.2 juta diperuntuk pasang 3,000 lampu solar LED di 32 lokasi berisiko seluruh negara, dijangka siap November ini - Nanta | HSS Holdings dibuka tidak berubah pada 18 sen, tidak berubah daripada harga IPO dengan 16.23 juta saham didagangkan ketika mula disenarai di Pasaran ACE | 

Niaga Hadapan MSM Naik Melebihi RM4,500 Satu Tan

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (CPO) Bursa Malaysia Derivatif ditutup lebih tinggi hari ini dengan kontrak penanda aras April 2025 melebihi RM4,500 satu tan selepas didorong oleh kebimbangan terhadap output yang lemah dan jangkaan permintaan menjelang Ramadan.

Peniaga minyak sawit, David Ng menyatakan pengukuhan harga minyak kacang soya turut menyumbang kepada kenaikan harga MSM.

"Kami menjangkakan MSM mendapat sokongan pada paras RM4,400 dan rintangan pada RM4,650," katanya kepada Bernama.

Ketua Penyelidik Komoditi Sunvin Group dari Mumbai, Anilkumar Bagani menjelaskan kekuatan di pasaran berkaitan telah menyokong harga minyak sawit, di tengah-tengah gangguan yang terkait  dengan cuaca yang mempengaruhi pengeluaran dan pengangkutan sawit di Malaysia serta Indonesia.

Di samping itu, spekulasi pasaran semakin bertambah bahawa Indonesia mungkin meningkatkan levi eksport bagi MSM hingga 10 peratus atau lebih tinggi berbanding 7.5 peratus sekarang ini, walaupun belum ada pengumuman rasmi.

Pada penutup, kontrak Februari 2025 melonjak RM103 kepada RM4,781 satu tan, Mac 2025 menokok RM93 kepada RM4,601 satu tan dan April 2025 mengukuh sebanyak RM101 kepada RM4,504 satu tan.

Mei 2025 bertambah RM95 kepada RM4,409 tan, Jun 2025 adalah RM89 lebih baik kepada RM4,320 satu tan dan Julai 2025 untung RM82 kepada RM4,261 satu tan.

Jumlah dagangan melonjak kepada 100,050 lot berbanding 80,473 lot yang dicatatkan pada Khamis, manakala kepentingan terbuka melebar kepada 227,401 kontrak daripada 223,563 sebelum ini.

Harga MSM fizikal untuk Februari Selatan naik sebanyak RM90 kepada RM4,820 satu tan.

-- BERNAMA