LuMIC : Visi 25 Tahun Pacu Ekonomi Perak, Perkukuh Sektor Pelabuhan Negara
Oleh Razif Rosli dan Muhamad Adzhar Tajudin
LUMUT, 10 Feb (Bernama) -- Projek Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) yang dirancang untuk pembangunan selama 25 tahun, dilihat bukan sahaja dapat menjana ekonomi negeri Perak dalam jangka masa panjang malah menjadi pelengkap kepada sektor pelabuhan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata LuMIC merupakan agenda pembangunan bagi Kluster Perindustrian Maritim Bersepadu di Manjung yang memfokuskan sektor maritim, pelabuhan, logistik dan perindustrian, termasuk penglibatan langsung perdagangan antarabangsa.
"Projek LuMIC yang dibangunkan di atas tanah berkeluasan 9,307.7 hektar di Manjung dijangka menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke Perak dan pada masa sama kita jangkakan mewujudkan lebih daripada 50,000 peluang pekerjaan baharu.
"PKNPk yakin kerjasama dengan Port of Antwerp-Bruges International (PoABI) yang berpengkalan di Belgium akan meningkatkan tahap keterhubungan antara Eropah dan Asia selain menjadikan Lumut sebagai sebuah bandar yang moden dan lestari," katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.
LuMIC adalah satu daripada lima projek utama yang sedang dilaksanakan di Perak selain Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), Perak Halal Industrial Park (Perak HIP), Silver Valley Technology Park (SVTP), dan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP).
KAJIAN PROSPEK DARI KESATUAN EROPAH
Menurut Redza Rafiq, kejayaan menyempurnakan kajian kebolehlaksanaan fasa pertama dengan geran bernilai 1.9 juta euro (1 Euro=RM4.58) daripada Kesatuan Eropah (EU) pada 2023 adalah sebahagian daripada usaha sama antara PKNPk dan PoABI untuk menilai prospek Perak dalam sektor berkenaan.
"Kajian ini menumpukan kepada penilaian tenaga hijau, pembangunan pelan induk dan perancangan perniagaan yang dijangka selesai pada awal tahun ini. Selepas itu, perancangan terperinci dan penyediaan tanah akan dimulakan, membuka jalan untuk aktiviti pembangunan sebenar.
"PKNPk dan PoABI telah membentuk syarikat tujuan khas (SPV) iaitu LuMIC DevCo bagi menjalankan usaha sama dalam pembangunan dan pengurusan hab perindustrian maritim bersepadu LuMIC di daerah Manjung dan kawasan sekitar negeri Perak,” katanya.
Beliau berkata kerjasama bersama PoABI membabitkan kajian komprehensif bagi pelan pembangunan LuMIC yang menekankan hala tuju, strategi, piawaian alam sekitar yang mampan dan nilai rantaian, selain pelabuhan itu turut menyediakan kepakaran dalam pengurusan projek, perkhidmatan rundingan dan latihan di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, PKNPk menyediakan kepakaran dan rangkaian tempatan dalam cadangan pembangunan dan tanah bagi LuMIC.
LuMIC SEBAGAI ENJIN PERTUMBUHAN PERAK, NCER
Beliau berkata selain itu, LuMIC juga dilihat sebagai enjin pertumbuhan bagi Perak dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dengan penyertaan sektor swasta melalui FDI dan domestik, insentif zon ekonomi khas dan kerjasama industri-akademik yang kukuh.
"Pelaburan daripada syarikat-syarikat dalam dan luar negara akan meningkatkan aliran modal ke dalam negeri selain inisiatif dan kemudahan yang akan disediakan untuk pelabur serta pada masa sama pendapatan kerajaan dapat ditingkatkan menerusi cukai dan yuran.
"Selain ribuan peluang pekerjaan, projek ini akan mendorong kepada pembangunan kemahiran pekerja tempatan serta kebolehpasaran dan produktiviti,” kata beliau.
Redza Rafiq berkata limpahan pembangunan seperti jalan raya, pelabuhan, dan sistem logistik yang maju untuk meningkatkan daya saing ekonomi negeri dijangka turut meningkatkan nilai hartanah di kawasan sekitar.
"Dengan pelaksanaan yang berkesan, projek LuMIC akan membawa limpahan manfaat yang besar kepada rakyat, meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran komuniti setempat serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri Perak secara keseluruhan," katanya.
MAMPUKAH LuMIC SAINGI PELABUHAN UTAMA?
Ketika ditanya sama ada LuMIC mampu menyaingi pelabuhan utama seperti Pelabuhan Klang di Selangor serta pelabuhan-pelabuhan utama di Johor dan Pulau Pinang, beliau berkata meskipun ketiga-tiga pelabuhan berkenaan mempunyai reputasi kukuh, LuMIC boleh menjadi pelengkap yang signifikan.
Redza Rafiq berkata antara tarikan LuMIC adalah lokasinya yang strategik di pantai barat Semenanjung Malaysia.
Ia sekali gus memudahkan akses kepada laluan perdagangan antarabangsa selain mempunyai kelebihan untuk menarik masuk kapal dagang yang melalui Selat Melaka.
"Infrastruktur dan kemudahan moden serta teknologi canggih sudah pasti akan meningkatkan daya saing LuMIC termasuk kemudahan sokongan seperti pusat logistik, penyimpanan dan bengkel penyelenggaraan kapal," katanya.
Beliau berkata LuMIC juga boleh menawarkan kos operasi yang kompetitif berbanding pelabuhan lain selain menawarkan kecekapan dalam pengurusan pelabuhan, termasuk waktu pengendalian yang cepat dan perkhidmatan yang berkualiti.
Pembangunan rangkaian pengangkutan yang baik dengan akses kepada jalan raya, rel kereta api, dan udara akan meningkatkan daya tarik pelabuhan ini, serta sokongan daripada kerajaan negeri dan persekutuan melalui insentif cukai dan dasar yang menggalakkan pelaburan juga boleh diambil kira, katanya.
"LuMIC juga akan menjadi penghubung dengan pelabuhan antarabangsa dan syarikat perkapalan global untuk menarik laluan perdagangan baru dan kita yakin dengan perancangan teliti serta pelaksanaan berkesan ia berpotensi untuk menyaingi pelabuhan-pelabuhan utama di Malaysia," kata Redza Rafiq.
Bagaimanapun, beliau mengakui cabaran utama adalah menarik jumlah pelaburan yang diperlukan untuk pembangunan fasa awal terutamanya dalam berhadapan situasi ekonomi dan geopolitik global yang tidak menentu.
"Pembangunan infrastruktur memerlukan koordinasi yang baik khususnya daripada kerajaan dan komuniti setempat serta pada masa sama perlu memastikan pembangunan tidak beri kesan negatif pada alam sekitar selain memerlukan tenaga kerja mahir yang berkemahiran tinggi,” kata beliau.
BUKAN SEKADAR PELABUHAN
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan Dan Pembangunan Koridor Loh Sze Yee (he) berkata pembangunan LuMIC tidak tertumpu terhadap pelabuhan semata-mata sebaliknya turut merangkumi industri pembuatan, logistik dan pergudangan.
Beliau berkata projek dibangunkan secara berperingkat itu secara dasarnya mahu memanfaatkan potensi Lumut sebagai lokasi pesisir laut yang mampu menjadi antara penyumbang dalam penjanaan pendapatan negeri secara amnya.
“Sememangnya ada yang berpendapat bahawa pembangunan LuMIC ini tertumpu kepada projek untuk melaksanakan pembinaan pelabuhan dalam skala besar bagi tujuan pengeksportan atau pengimportan.
“Perkara ini tidak benar sama sekali, sebaliknya pelabuhan sedia ada melalui Lumut Port Terminal akan kita bangunkan dengan lebih efisien supaya ia menjadi antara tunjang dalam menghasilkan nilai pelaburan yang signifikan untuk negeri,” katanya.
Ahli Dewangan Undangan Negeri (ADUN) Jalong itu berkata manfaat yang dibawa melalui LuMIC juga secara dasarnya akan membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk meningkatkan produktiviti sekali gus mencari pasaran lebih luas khususnya ke negara ASEAN.
“Platform yang ada ini seharusnya digunakan sebaik mungkin oleh syarikat tempatan untuk mencari pasaran baharu melalui perusahaan yang dibuka. Peluang ini seharusnya dilihat dari sekarang supaya ia memberi pulangan sewajarnya,” katanya.
-- BERNAMA