BERITA TERKINI   Sektor 'Advanced Air Mobility' dan dron dijangka berkembang pesat dengan pelaburan bernilai berbilion dolar - Loke | LAE buka peluang tarik pelaburan bernilai tinggi, tingkatkan daya saing negara - Loke | Garis panduan Ekonomi Altitud Rendah (LAE) dijangka diumum hujung tahun ini, perkasa kawal selia dan operasi ekosistem LAE - Loke | Lim Guan Eng, isterinya dan ahli perniagaan Phang Li Koon gagal dalam permohonan batalkan pertuduhan rasuah, ubah wang haram berkaitan projek asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta | Aliran keluar bukan pemastautin dalam pasaran pertukaran asing mencerminkan penyusunan semula portfolio susulan prestasi kukuh ringgit pada awal tahun ini - BNM | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi Disebabkan Ketidakpastian Pelan Tarif Terbaru Trump

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini berikutan ketidaktentuan tarif Amerika Syarikat (AS) terhadap import keluli dan aluminium yang mendorong permintaan untuk logam selamat itu.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata walaupun hasil AS lebih tinggi dan dolar lebih kukuh, emas melawan graviti hingga mencecah paras tertinggi berikutan ketidaktentuan mengenai rancangan tarif Presiden AS Donald Trump.

“Apabila ia meningkat seiring dengan dolar yang lebih kukuh dan hasil yang meningkat, ia adalah pelindung terhadap ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi itu sendiri.

"Sekiranya trend ini berterusan, kita mungkin melihat anjakan paradigma yang mana emas berfungsi sebagai aset perlindungan risiko paling utama," katanya kepada Bernama.

Kontrak bulan semerta Februari 2025 meningkat kepada US$2,900.40 setiap auns troy daripada US$2,871.50 setiap auns troy pada Jumaat lalu, manakala kontrak Mac 2025 bertambah kepada US$2,907.50 setiap auns troy daripada US$2,882.50 setiap auns troy sebelumnya.

Kontrak April 2025, Mei 2025 dan Jun 2025 naik kepada US$2,915.50 setiap auns troy berbanding US$2,888.10 setiap auns troy ketika ditutup pada Jumaat.

Jumlah dagangan melonjak kepada 100 lot daripada 36 lot pada Jumaat, manakala kepentingan terbuka meningkat dua kali ganda kepada 138 kontrak daripada 69 kontrak sebelumnya. 

Mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 7 Feb, harga emas fizikal berada pada US$2,874.65 setiap auns troy.

-- BERNAMA