BERITA TERKINI   Kerajaan pertimbang wajibkan label ‘AI generated’ bagi kandungan digital di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian - Fahmi | Pihak berkuasa perlu siasat kesahihan dokumen minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang tular - Fahmi | Bangkai helikopter PDRM yang terhempas di Sungai Pulai dijangka dinaikkan esok atau lusa dengan bantuan TLDM dan APMM - Komander PGU  | Kemalangan helikopter: Lima mangsa termasuk dua di ICU Hospital Sultanah Aminah stabil - Komander PGU | KPT pantau aktiviti berkaitan militan IS dalam kalangan pelajar IPT - Zambry | 

MATA, Persatuan Ejen Pelancongan Guilin Jalin Kerjasama Pelancongan Malaysia-China

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) dan Persatuan Ejen Pelancongan Guilin telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) untuk memperkukuh kerjasama pelancongan antara Malaysia dan China.

MATA dalam kenyataan hari ini memaklumkan MoU itu bertujuan meningkatkan perjalanan dua hala, mempromosikan pertukaran pelancongan dan peluang ekonomi untuk kedua-dua negara.

Menurut MATA, kerjasama itu akan memainkan peranan penting untuk menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026), kempen pelancongan utama Malaysia yang bertujuan menarik 26.1 juta pelancong antarabangsa dan menjana hasil pelancongan sebanyak RM97.6 bilion.

“Menerusi kerjasama ini, MATA dan Persatuan Ejen Pelancongan Guilin akan memudahkan pengalaman perjalanan antara Malaysia dan Guilin, iaitu destinasi terkenal dengan landskap karst yang menakjubkan, warisan budaya serta keindahan Sungai Li.

“Pihak berkepentingan pelancongan Malaysia akan bekerjasama rapat dengan Persatuan Ejen Pelancongan Guilin untuk mempromosikan tarikan pelancongan Malaysia, dari tapak warisan yang tersenarai dalam UNESCO di Pulau Pinang dan Melaka hingga percutian pulau di Langkawi dan Sabah,” katanya.

Presiden MATA Datuk Seri Dr Mohd Khalid Harun berkata kerjasama berkenaan penting dalam memajukan sektor pelancongan Malaysia terutamanya dengan China sebagai satu daripada pasaran utama sumber pelancong.

“MoU ini bukan sahaja meningkatkan kemasukan pelancong dari luar negara tetapi juga memberi peluang lebih besar kepada rakyat Malaysia untuk meneroka keindahan Guilin,” katanya.

-- BERNAMA