222 PMKS Bumiputera Terima Manfaat Program BEEP Berjumlah RM34.44 Juta Pada 2024
KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Sejumlah 222 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera menerima manfaat daripada Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) dengan kelulusan geran sebanyak RM34.44 juta sehingga Disember 2024.
BEEP merupakan program yang dikendalikan di bawah SME Corp.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi jawapan bertulis yang dimuat naik di laman portal Dewan Rakyat hari ini berkata program BEEP Plus Sabah dan Sarawak pula berjaya memanfaatkan 163 PMKS dengan kelulusan geran berjumlah RM13.31 juta.
Selain itu, kata kementerian tersebut, seramai 850 usahawan belia Bumiputera menerima manfaat dengan peruntukan sebanyak RM16.42 juta di bawah program Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE).
"Sebanyak 83 syarikat Bumiputera diluluskan penyertaan ke pasaran eksport dengan peruntukan daripada Business Export Programme (BEP) yang berjumlah RM16.5 juta.
"Manakala sebanyak 249 usahawan Bumiputera di bawah Program Galakan Eksport Bumiputera (GEB) diluluskan geran dan pinjaman mereka serta menyertai latihan persediaan eksport dengan peruntukan berjumlah RM7.16 juta," kata kementerian itu.
Kementerian berkenaan berkata demikian bagi menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat).
Onn mengemukakan pertanyaan mengenai usaha pengukuhan PMKS Bumiputera dalam sektor pertanian, pembinaan dan perkhidmatan pada tahun lepas serta langkah untuk memperkukuh penyertaan mereka.
-- BERNAMA