P.Pinang Yakin Mampu Hadapi Impak Perubahan Tarif Amerika Syarikat - Chow
GEORGE TOWN, 13 Feb (Bernama) -- Pulau Pinang yakin ia berupaya menghadapi cabaran perubahan dasar tarif yang diumumkan oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Beliau menegaskan Pulau Pinang yang mengeksport kira-kira 5.0 peratus semikonduktor dunia, sedang memantau perkembangan perubahan dasar tarif itu dengan teliti.
"Sebarang dasar tarif baharu akan memberi kesan kepada syarikat multinasional (MNC) yang beroperasi di negeri ini, sekali gus mempengaruhi peluang pekerjaan dan potensi pelaburan masa depan.
"Namun, saya yakin Pulau Pinang berada dalam kedudukan yang kukuh untuk menangani sebarang perubahan dalam dasar perdagangan kerana negeri ini telah bersedia selama lima dekad untuk menghadapi cabaran sedemikian," katanya kepada pemberita dalam sidang media bersama Duta Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Rafael Daerr di sini hari ini.
Chow turut menekankan komitmen kerajaan negeri untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat pembuatan bernilai tinggi dan inovasi teknologi kekal teguh.
Pulau Pinang juga katanya berhasrat untuk memperkukuh kerjasama dengan EU dalam menangani cabaran landskap semikonduktor global yang sentiasa berubah.
"Kerajaan negeri melalui InvestPenang sedia menyediakan persekitaran yang kondusif bagi perniagaan EU untuk berkembang, berinovasi, dan menyumbang kepada kejayaan ekonomi Malaysia," katanya.
Sementara itu, Daerr berkata komuniti perniagaan EU di Malaysia telah bertapak lama di Pulau Pinang dan berada di lokasi yang strategik di tengah-tengah kawasan tumpuan utama.
Beliau berkata kedudukan Pulau Pinang sebagai lokasi utama untuk industri berteknologi tinggi dan berkemahiran tinggi di Malaysia serta mempunyai orientasi yang kuat terhadap perdagangan antarabangsa menarik banyak syarikat dan pelabur EU.
"Ia termasuk dalam sektor-sektor yang berorientasikan masa depan seperti industri elektrik & elektronik, produk perubatan, kejuruteraan dan peralatan ketepatan, serta penerbangan," kata Daerr.
Sementara itu, beliau berkata dari 2019 hingga 2023, Pulau Pinang meraih hampir RM100 bilion dalam pelaburan pembuatan yang diluluskan dari EU, mewakili 51 peratus daripada jumlah pelaburan pembuatan yang diluluskan di negeri itu.
"Sepanjang tempoh yang sama, Pulau Pinang mengeksport barangan bernilai RM140 bilion ke EU," kata Daerr.
Delegasi EU ke Malaysia, dengan kerjasama kerajaan Pulau Pinang, EUROCHAM Malaysia dan InvestPenang, menganjurkan sesi panel "EU-Malaysia Business Day 2025: Penang in Focus" hari ini.
Acara satu hari ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dan memupuk kerjasama antara perniagaan Eropah dan Malaysia.
-- BERNAMA