BERITA TERKINI   MCMC buka 42 kertas siasatan, panggil 22 individu berhubung penyebaran maklumat palsu berkait krisis tenaga global yang tular di media sosial dan platform digital - Fahmi | Jemaah Menteri setuju tubuh Majlis Pengurusan Bencana Negara, menteri besar, ketua menteri dan premier sebagai ahli tetap - Fahmi | Mekanisme penggunaan MyKasih dan MyKad untuk pemberian subsidi termasuk diesel diteliti MoF, keputusan diumum kelak - Fahmi | Jemaah Menteri pertimbang keperluan kehadiran anggota polis di stesen minyak di sempadan negara, pastikan aspek keselamatan dipertingkat - Fahmi | 

JS-SEZ: Kementerian Ekonomi Garis Tiga Perancangan Jangka Panjang Elak Kesesakan Lalu Lintas

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) — Kerajaan menggariskan tiga perancangan jangka panjang bagi mengekang kesesakan lalu lintas yang berpotensi berlaku disebabkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kata Kementerian Ekonomi.

Kementerian itu berkata antara perancangan tersebut ialah meningkatkan kapasiti pelepasan dan melaksanakan lorong automatik secara berfasa, tertakluk kepada keperluan dan peraturan kedua-dua negara Malaysia dan Singapura. 

“Selain itu, kerajaan juga meneroka mod pengangkutan alternatif berdaya maju secara komersial dan memenuhi keperluan peraturan seperti keselamatan dan sekuriti bagi setiap negara. 

“Kerajaan juga berusaha membangunkan ketersambungan lancar dengan memperkukuh rangkaian pengangkutan tempatan di Malaysia bagi menyokong JS-SEZ,” menurut kementerian dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.

Kementerian Ekonomi berkata demikian bagi menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) yang ingin mengetahui adakah wujud penggunaan dana awam di dalam pelaksanaan projek JS-SEZ) dan apakah perancangan jangka masa panjang kerajaan bagi mengekang kesesakan lalu lintas yang berpotensi berlaku disebabkan JS-SEZ.

Sementara itu, ia berkata kerajaan Malaysia telah mewujudkan dana pemudahcara (infrastruktur) berjumlah RM5 bilion yang antara lain akan digunakan untuk menyokong pembangunan kawasan JS-SEZ.

“Pertimbangan untuk penggunaan dana adalah tertakluk kepada dasar dan prioriti kerajaan manakala kerajaan Singapura pula akan memperkenal satu bentuk sokongan pembiayaan tersendiri bagi memudahkan pengembangan operasi syarikat-syarikat Singapura yang mahu beroperasi di kawasan JS-SEZ,” katanya. 

Pada 7 Januari lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong menyaksikan pertukaran perjanjian bersama antara Malaysia dan Singapura mengenai JS-SEZ. 

JS-SEZ merangkumi kawasan pembangunan Iskandar, Forest City, Pengerang Integrated Petroleum Complex dan Desaru dengan keluasan tanah 357,128 hektar.

Wilayah pembangunan Iskandar turut meliputi Pusat Bandaraya Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas-Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai-Skudai dan Sedenak.

-- BERNAMA