BERITA TERKINI   Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 - DOSM | Lebihan dagangan meningkat kepada RM40.4 bilion pada Mei 2026, sekali gus mencatat lebihan selama 73 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 - DOSM | Eksport Malaysia tumbuh 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion, import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion pada Mei 2026 - DOSM | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion pada Mei 2026, didorong pertumbuhan eksport lebih kukuh - DOSM | DBKL peruntuk RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga bangunkan semula 287 lokasi gerai penjaja di ibu negara - Hannah | 

EATech Dapat Persetujuan Pemegang Saham Untuk Penjenamaan Semula

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) --  E.A Technique (M) Bhd (EATech), pakar pengangkutan marin dan penyimpanan luar pesisir telah memperoleh kelulusan pemegang sahamnya pada mesyuarat agung yang luar biasa untuk dijenamakan semula sebagai Avangaad Bhd. 

Pengarah Eksekutif EATech Datuk Mubarak Hussain Akhtar Husin berkata langkah itu adalah sebahagian daripada transformasi strategik syarikat.

"Apa yang menjadikan saat ini lebih luar biasa adalah kewangan syarikat yang kuat, kemenangan kontrak strategik dan kecemerlangan operasi, yang semuanya memacu kami dalam mengemudi sempadan baharu termasuk penciptaan nilai yang berkekalan," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Keuntungan bersih syarikat telah melonjak hampir lapan kali ganda kepada RM25.17 juta pada suku keempat yang berakhir menjelang 31 Disember 2024 berbanding RM3.28 juta yang disaksikan semasa suku keempat 2023, disokong oleh pengurusan kos berdisiplin, kecekapan operasi yang lebih baik serta pembangunan dan pengembangan perniagaan yang strategik. 

Bagaimanapun, pendapatan pada suku tahun susut kepada RM29.30 juta daripada RM33.13 juta sebelum ini.

Untuk tahun kewangan penuh berakhir pada 31 Disember 2024, keuntungan bersih EATech menokok kepada RM154.3 juta daripada RM23.69 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2023 selepas didorong oleh pendapatan satu kali yang terkait dengan skim pemiutang dan pelan pematuhan PN17. 

Sementara itu, pendapatan menurun kepada RM122.66 juta pada tahun kewangan 2024 berbanding RM133.08 juta sebelumnya.

Keuntungan dan daya tahan aliran tunai syarikat yang kukuh telah disokong oleh tempahan dalam tangan yang mantap iaitu sebanyak RM181.3 juta termasuk opsyen kontrak lanjutan bernilai RM227.1 juta, ini menjamin aliran pendapatan yang stabil bagi tahun-tahun yang akan datang.

"Dengan pendedahan keputusan suku keempat 2024, EATech telah menyelesaikan suku akhir yang diperlukan untuk meneruskan permohonan rasminya ke Bursa Malaysia bagi tujuan menghapuskan status PN17nya.

"Berikutan penyerahan tersebut, syarikat akan bekerja rapat dengan pihak berkuasa pengawalseliaan untuk memastikan kejayaan menyelesaikan proses resolusi," katanya. 

-- BERNAMA