BERITA TERKINI   Polis buka kertas siasatan susulan laporan palsu kemangkatan Sultan Kelantan - Ketua Polis Kelantan | Kerajaan pertimbang wajibkan label ‘AI generated’ bagi kandungan digital di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian - Fahmi | Pihak berkuasa perlu siasat kesahihan dokumen minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang tular - Fahmi | Bangkai helikopter PDRM yang terhempas di Sungai Pulai dijangka dinaikkan esok atau lusa dengan bantuan TLDM dan APMM - Komander PGU  | Kemalangan helikopter: Lima mangsa termasuk dua di ICU Hospital Sultanah Aminah stabil - Komander PGU | 

SME Malaysia Anjur Bual Bicara AI, Pendigitalan Dan e-Invois Pada 25 Februari Depan

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Beberapa bidang utama yang mempengaruhi masa depan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutamanya penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk memperkasakan prestasi perniagaan dan pematuhan e-invois akan dibincangkan pada sesi bual bicara - ‘SME Business Talk’ pada 25 Februari depan.

Presiden Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia), Chin Chee Seong dalam satu kenyataan berkata acara itu bertujuan memperkasakan PKS menerusi sesi perkongsian daripada agensi kerajaan utama dan pakar industri yang berdedikasi untuk menambah baik prestasi perniagaan, memacu inovasi dan memupuk pertumbuhan yang mampan untuk ekonomi Malaysia.

Ia akan berlangsung di Menara Affin @ TRX di sini, acara sehari itu akan dimulakan dengan ucaptama oleh Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Acara berkenaan adalah sebahagian daripada Siri Bual Bicara Perniagaan SME Malaysia 2025 menyasarkan untuk menyediakan PKS dengan pelbagai maklumat penting mengenai aplikasi AI dalam kewangan dan penggunaan e-invois.

Ia juga bertujuan untuk membantu perniagaan meningkatkan kecekapan, menambah baik dalam membuat keputusan dan mematuhi keperluan kawal selia. 

Pengarah e-invois dan penyeragaman Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Saiful Izwan akan membuat pembentangan ‘e-Invoicing for SME Digitalisation’, Pengarah Bahagian e-Invois Jabatan Operasi Cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Dr Rasyidah Che Rosli pula akan membentangkan ‘e-Invoicing for SME Business’ serta perbincangan panel mengenai ‘Empowering SMEs through Digitalisation: Harnessing e-Invoicing and AI for a Smarter Future’.

-- BERNAMA