BERITA TERKINI   Isu gaji tertunggak: Fahmi minta majikan Petra News adakan perbincangan dengan pekerja terlibat, selesaikan isu dengan segera | Rang Undang-undang Iltizam Kecekapan Pentadbiran Awam diperingkat akhir untuk dimuktamadkan - KSN | PGA Ulu Kinta tumpas kegiatan proses e-waste haram, babit rampasan RM1.3 bilion - Komander Briged Utara | Pelaksanaan Pakej P-hailing Rahmah akan dikaji semula supaya beri manfaat perkhidmatan Internet sepenuhnya kepada penghantar - Fahmi | 

RCEP, Kunci Integrasi Kepada Kemakmuran ASEAN - PM Thai Paetongtarn

 

Oleh Linda Khoo

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Integrasi ekonomi yang lebih mendalam, pengukuhan rantaian bekalan serantau dan sumbangan kepada pembangunan ekonomi global merupakan keutamaan bersama yang perlu ditekankan oleh ASEAN, kata Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra.

Paetongtarn, 38, berkata demikian kepada Bernama menerusi satu temu bual bertulis, yang menjawab soalan mengenai bagaimana ASEAN, di bawah pengerusian Malaysia boleh mempercepat pelaksanaan perjanjian perdagangan bebas Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) untuk memacu pertumbuhan serantau.

Beliau yang menyandang jawatan perdana menteri Thailand ke-31 sejak 16 Ogos, 2024, mengesahkan komitmen negara berkenaan untuk bekerjasama dengan Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN bagi 2025, bersama-sama negara anggota RECP lain untuk mencapai pelaksanaan perkongsian yang lebih berkesan.

Selain RCEP, beliau berkata Thailand turut menyokong usaha Malaysia memperdalam integrasi ekonomi melalui usaha menaik taraf perjanjian perdagangan bebas (FTA) lain dengan rakan negara luar serta melalui pembangunan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN.

“Saya percaya (usaha ini) akan melengkapkan RCEP dan menyumbang kepada usaha Malaysia selaku Pengerusi ASEAN untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan sesama serantau,” katanya. 

Menurutnya, sebagai FTA terbesar di dunia RCEP telah terbukti menjadi blok ekonomi yang berjaya yang dapat dilihat menerusi peningkatan jumlah perdagangan dan pelaburan dalam kalangan anggota, akses pasaran yang bertambah baik, pemudahan perdagangan dan rantaian bekalan serantau serta penerokaan bidang kerjasama baharu termasuk dalam e-dagang dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Paetongtarn juga mengalu-alukan penubuhan Unit Sokongan RCEP (RSU) dalam Sekretariat ASEAN dan berharap ini akan menjadi mekanisme utama untuk mempercepatkan pelaksanaan penuh RCEP pada masa depan.

RCEP  melibatkan 15 negara terdiri dari 10 negara anggota ASEAN iaitu Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam - bersama lima Rakan Dialog blok itu - Australia, China, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

RCEP merangkumi kira-kira 30 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global dan bahagian yang sama daripada populasi dunia.

Perjanjian ini mempunyai mekanisme bagi perdagangan bebas dalam kalangan negara yang mengambil bahagian dengan set peraturan dan prosedur untuk mengakses tarif keutamaan di seluruh negara.

Rundingan RCEP dilancarkan secara rasmi pada Sidang Kemuncak ASEAN 2012 di Kemboja, dan Perjanjian itu ditandatangani pada 15 Nov, 2020.

Sejak pelaksanaan penuhnya, perdagangan ASEAN dengan anggota RCEP mencecah US$1.9 trilion pada 2023, peningkatan 25 peratus daripada paras sebelum pandemik.

Pelaburan langsung asing (FDI) daripada rakan RCEP juga menyaksikan aliran masuk yang kukuh sebanyak US$66.3 bilion, menyumbang 28.9 peratus daripada jumlah aliran masuk FDI ke ASEAN pada 2023.

-- BERNAMA