BERITA TERKINI   Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 - DOSM | Lebihan dagangan meningkat kepada RM40.4 bilion pada Mei 2026, sekali gus mencatat lebihan selama 73 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 - DOSM | Eksport Malaysia tumbuh 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion, import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion pada Mei 2026 - DOSM | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion pada Mei 2026, didorong pertumbuhan eksport lebih kukuh - DOSM | DBKL peruntuk RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga bangunkan semula 287 lokasi gerai penjaja di ibu negara - Hannah | 

MPN Lulus Kerangka NSS Bangunkan 110 Syarikat Semikonduktor Bernilai Tinggi Tempatan - MITI

KUALA LUMPUR,18 Feb (Bernama) -- Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) meluluskan pelaksanaan kerangka khusus Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang menggariskan hala tuju jelas bagi menyasarkan pembangunan 110 syarikat tempatan dalam aktiviti bernilai tinggi.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata aktiviti bernilai tinggi tersebut adalah seperti reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan maju, dan peralatan pembuatan termaju. 

"Ini merangkumi 10 syarikat tempatan berkaitan semikonduktor dengan hasil dianggarkan antara RM1 bilion hingga RM4.7 bilion, serta menyokong penubuhan 100 syarikat lain, masing-masing dijangka menjana hasil tahunan sekitar RM1 billion," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan pelaksanaan kerangka khusus NSS tersebut semasa mempengerusikan MPN pertama tahun ini, semalam.

Sehubungan itu, MITI berkata ia bakal bekerjasama rapat dengan kementerian lain, seperti Kementerian Ekonomi, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Digital, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Kementerian Pendidikan Tinggi bagi memastikan dasar ini dilaksanakan dengan pendekatan seluruh kerajaan.

Terdahulu, NSS dilancarkan pada Mei 28, 2024, bertujuan memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor global sebagai langkah strategik untuk meningkatkan nilai tambah kepada sumbangan sektor pembuatan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Di samping itu, ia bermatlamat meningkatkan bakat mahir dan gaji median dalam sektor pembuatan, seperti yang disasarkan oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030).

-- BERNAMA