BERITA TERKINI   Kerajaan cadang gubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 - PM Anwar | Kerajaan MADANI cipta sejarah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengandungi penanda aras berkaitan pengurusan fiskal - PM Anwar | Kerangka Ekonomi MADANI serta RMK13 bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi bagi menangani kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama - PM Anwar | Pengintegrasian Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA oleh MAHB akan dipercepat- Loke | Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | 

Untung Bersih Tahun Kewangan 2024 Maxis Naik 40.6 Peratus Kepada RM1.4 Bilion

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Maxis Bhd mencatat peningkatan keuntungan bersih 40.6 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024 kepada RM1.4 bilion berbanding RM993 juta pada tahun sebelumnya, didorong oleh pertumbuhan hasil yang lebih kukuh dan pengoptimuman kos.

Perolehan meningkat 3.5 peratus kepada RM10.54 bilion daripada RM10.18 bilion sebelum ini.

Syarikat telekomunikasi itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata pertumbuhan itu didorong oleh peningkatan hasil perkhidmatan 3.5 peratus untuk mencapai RM8.87 bilion serta peningkatan  ketara perolehan peranti berjumlah 3.7 peratus kepada RM1.67 bilion.

“Pertumbuhan perolehan perkhidmatan perniagaan pengguna menggambarkan strategi kejayaan Maxis untuk meningkatkan penglibatan pelanggan dan mengembangkan tawaran perkhidmatannya merentas segmen kesalinghubungan mudah alih dan rumah.

"Pertumbuhan hasil peranti menunjukkan permintaan kukuh terhadap peranti, disokong oleh aktiviti promosi dan jualan bermusim," katanya.

Sementara itu, Maxis berkata, perolehan perniagaan perusahaan turut menyaksikan pertumbuhan kukuh sebanyak 6.8 peratus yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh pengenalan perkhidmatan borong 2G dan 4G serta peningkatan langganan mudah alih perusahaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Goh Seow Eng dalam kenyataan berkata kumpulan itu terus mencapai keputusan positif dengan memberi tumpuan kepada aspek terpenting: memberikan nilai kepada pelanggan.

“Strategi kukuh kami, digabungkan dengan pelaksanaan berdisiplin, menekankan perkhidmatan pelanggan, kebolehpercayaan rangkaian dan kecekapan operasi, membolehkan kami mengembangkan penawaran dan meningkatkan pengalaman pelanggan merentas setiap segmen pasaran,” katanya.

Maxis berkata perolehan yang lebih baik dan pengurusan kos yang berdisiplin menghasilkan peningkatan 4.1 peratus tahun ke tahun bagi pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kepada RM4.12 bilion.

Bagi suku keempat berakhir 31 Dis 2024, keuntungan bersih melonjak kepada RM321 juta daripada RM56 juta pada tahun sebelumnya. Ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh pelarasan bukan tunai daripada pengurangan hayat berguna aset dan aset tertentu yang rosot nilai pada suku keempat tahun kewangan 2023.

Perolehan meningkat 1.1 peratus kepada RM2.77 bilion daripada RM2.74 bilion sebelum ini, terutamanya didorong oleh peningkatan perolehan perkhidmatan sebanyak 2.1 peratus kepada RM2.25 bilion.

Kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak 4.0 sen sesaham dan dividen sekali beri sebanyak 1.0 sen sesaham.

"Dividen sekali beri ini adalah sebagai pertimbangan kepada prestasi kukuh syarikat bagi tahun itu, menjadikan dividen setahun penuh kepada 17 sen sesaham," katanya.

Sebagai perbandingan, Maxis membayar dividen sebanyak 16 sen sesaham untuk tahun kewangan 2023, termasuk dividen 4.0 sen untuk suku keempat.

-- BERNAMA