BERITA TERKINI   MB Johor nafi desas-desus pembubaran DUN berlaku hari ini | Wartawan perlu dibenarkan bekerja secara profesional dengan pendekatan lebih berhemah oleh pihak berkuasa - Teo Nie Ching | Pihak berkuasa harus mengutamakan dialog berbanding penahanan dan menyelesaikan pertikaian melalui Majlis Media Malaysia untuk menambah baik perundangan kewartawanan -Teo Nie Ching | Forum Media HAWANA penting, memberi ruang untuk mencorakkan masa depan kewartawanan - Teo Nie Ching | Tabung Kasih@HAWANA beri manfaat kepada 728 pengamal media, jumlah sumbangan sebanyak RM1.94 juta setakat 30 April 2026 - Teo Nie Ching | 

Perkhidmatan Seni Bina Malaysia Perlu Jadi Penyumbang Kukuh Perdagangan Perkhidmatan - Liew

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Perkhidmatan seni bina dan reka bentuk profesional Malaysia perlu tampil sebagai penyumbang kukuh kepada perdagangan perkhidmatan negara berikutan mempunyai kombinasi ciri-ciri moden dan warisan budaya. 

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata seni bina masih merupakan segmen eksport yang kurang dibangunkan berikutan pengangkutan, teknologi maklumat dan komunikasi serta perkhidmatan perniagaan yang mendominasi profil eksport perkhidmatan negara.

"Jumlah perdagangan perkhidmatan Malaysia mencapai RM433.2 bilion pada 2023, namun sumbangan seni bina dan perkhidmatan reka bentuk profesional belum dimanfaatkan sepenuhnya di pasaran global," katanya dalam ucapan pembukaan program ‘Memperluas Horizon: Mengeksport Perkhidmatan Seni Bina Ke Luar Negara’ hari ini.

Bagaimanapun beliau menafikan pandangan bahawa Malaysia kekurangan bakat dalam bidang khusus dan menurutnya gaji dan pengalaman adalah antara faktor utama yang diperlukan untuk menarik bakat.

Liew berkata ini digambarkan menerusi defisit perdagangan perkhidmatan Malaysia berjumlah RM17 bilion dalam perkhidmatan perniagaan, yang merangkumi seni bina.

"Kebergantungan yang tinggi terhadap perunding asing dalam kepakaran khusus mencerminkan pemikiran yang menganggap kita tidak mempunyai kepakaran tempatan.

“Kita mesti mengurangkan kebergantungan terhadap perunding asing dengan membuat pelaburan dalam profesional tempatan," katanya.

Beliau menekankan bahawa kerajaan dan agensinya, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta Malaysia perlu bersatu untuk mengutamakan arkitek Malaysia di samping mendorong mereka untuk mendapatkan lebih banyak pendedahan dan akreditasi antarabangsa.

Bagi mempromosikan Kuala Lumpur dan bandar utama lain sebagai hab perkhidmatan seni bina, katanya terdapat keperluan untuk meningkatkan penyertaan Malaysia dalam projek reka bentuk dan tender antarabangsa serta menggalakkan perkongsian antara arkitek tempatan dan firma global.

Menurutnya Malaysia juga perlu memperkukuh kehadiran dalam ekspo seni bina utama dan pameran perdagangan serta mempromosikan pelaburan asing dalam firma seni bina Malaysia.

"Dengan mengintegrasikan inisiatif-inisiatif ini, kita boleh memastikan bahawa Malaysia tidak hanya dilihat sebagai pengeksport barangan malah sebagai pemimpin yang diiktiraf dalam perkhidmatan seni bina," katanya.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Arkitek Malaysia untuk memacu pengembangan sektor seni bina Malaysia di peringkat global.

"Malaysia mempunyai kesemua elemen untuk cemerlang dalam eksport seni bina -- asas profesional yang maju, identiti budaya yang tersendiri dan etos reka bentuk yang kukuh.

“Pada masa ini, kita perlu bekerjasama untuk meningkatkan kehadiran kita di peringkat global. Inilah masa untuk kita menjadikan kepakaran seni bina Malaysia sebagai aset ekonomi yang penting," katanya.

-- BERNAMA