UOB, Invest Johor Lancar "Green Lane" Bagi Percepat Pelaburan Ke JS-SEZ

ISKANDAR PUTERI, 19 Feb (Bernama) -- United Overseas Bank Ltd (UOB) yang berpusat di Singapura bersama Invest Johor melancarkan "green lane" (penilaian pantas) bagi mempercepatkan pelaburan ke Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia Ng Wei Wei berkata inisiatif itu merupakan satu daripada hasil memorandum persefahaman yang dimeterai bersama Invest Johor pada Persidangan ASEAN 2024, Ogos lepas.

"Di bawah perjanjian bersama Invest Johor, UOB akan melaksanakan penilaian prakelayakan untuk permohonan pelanggan kami bagi mendapatkan kelulusan pantas di Johor.

"Penilaian ini akan dilakukan berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Invest Johor dan ia pasti akan mempercepatkan masa pemprosesan," katanya pada persidangan Misi Perniagaan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) di sini hari ini.

Persidangan itu juga dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ng berkata, bagi mempermudah proses tersebut, UOB memperkenalkan perkhidmatan pembukaan akaun laluan pantas untuk pelanggan Singapura yang ingin mengembangkan perniagaan ke JS-SEZ.

"Kami juga menubuhkan meja khusus JS-SEZ di Johor dan Singapura untuk memberikan sokongan pantas mengenai penyelesaian kewangan, pembukaan akaun dan kemasukan dalam pasaran kepada pelanggan kami.

"Matlamat kami mudah iaitu mahu pelanggan merasai pengalaman yang pantas dan tanpa kesulitan," katanya.

Beliau berkata UOB kini bekerjasama dengan lebih 20 syarikat bagi mempermudah pelaburan berpotensi ke JS-SEZ yang bernilai beberapa bilion selain momentum ini dijangka terus berkembang dengan kukuh.

"Lebih 20 syarikat yang kami permudahkan ke JS-SEZ datang daripada pelbagai sektor termasuk pembuatan, tenaga dan kimia, ekonomi digital serta ekonomi hijau.

"Berikutan kepakaran sektor yang luas, kami dapat memberikan mereka penyelesaian khusus sektor," katanya.

Beliau berkata, di lapangan, UOB menghubungkan syarikat-syarikat berkenaan dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengenal pasti tanah yang sesuai selain mencari pembekal tempatan.

"Bukan sahaja kami membawa masuk pelaburan tetapi kami juga membantu membina ekosistem tempatan serta membangunkan perusahaan kecil dan sederhana," katanya.

Persidangan tersebut bertemakan "Lebih Hebat Bersama: Dua Ekonomi, Satu Ekosistem.”

Ia diadakan bersempena dengan misi perniagaan selama dua hari ke Johor Bahru yang dianjurkan oleh UOB dan SBF bermula hari ini dengan menawarkan pandangan langsung mengenai inisiatif JS-SEZ iaitu satu usaha perubahan untuk mengukuhkan hubungan ekonomi di antara Singapura dengan Johor.

-- BERNAMA