Untung Bersih Sunway Construction Meningkat Kepada RM186.9 Juta Bagi Tahun Kewangan 2024
KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Sunway Construction Group Bhd (SunCon) mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi iaitu RM186.91 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024 berbanding RM145.11 juta bagi tahun kewangan 2023.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, SunCon menjelaskan peningkatan keuntungan itu didorong oleh kemajuan pantas Projek RTS Link, peningkatan sumbangan daripada pembangunan pusat data, dan projek Sunway Square.
Perolehan pula meningkat kepada RM3.52 bilion daripada RM2.67 bilion bagi tempoh yang sama.
Bagi suku keempat tahun kewangan 2024, SunCon merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM69.16 juta daripada RM49.26 juta pada suku sama tahun kewangan 2023.
“Prestasi kewangan ini disokong oleh sumbangan besar daripada segmen pembinaan,” menurutnya.
Syarikat itu juga memaklumkan pihaknya mencapai penambahan nilai perolehan kontrak sebanyak RM4.2 bilion pada 2024, sejajar dengan julat sasaran antara RM4 bilion hingga RM5 bilion.
“Bagi tahun akan datang, syarikat telah menetapkan sasaran penambahan nilai perolehan kontrak sebanyak RM4.5 bilion hingga RM6.0 bilion,” jelasnya.
Pengarah Urusan SunCon Liew Kok Wing berkata tumpuan strategik syarikat kepada kemudahan teknologi termaju, terutama projek pusat data, telah berperanan penting dalam mendorong pertumbuhan perolehan.
“Malaysia terus memanfaatkan aspirasi untuk menjadi hab pusat data serantau. Perancangan tender Sunway Construction dalam domain kemudahan teknologi termaju kekal kukuh, ditambah dengan jangkaan kemajuan yang dipercepat bagi projek yang sedia ada, memberikan kebolehlihatan keuntungan bagi tahun kewangan 2025.
“Selain itu, syarikat juga positif terhadap usaha yang diterajui kerajaan menerusi Belanjawan 2025, iaitu Transit Aliran Ringan Pulau Pinang dan peluasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang,” katanya.
-- BERNAMA