Malaysia Sebagai Pengerusi ASEAN Pacu Pembangunan Mampan, Pertumbuhan Inklusif - RHB

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Malaysia sebagai pengerusi ASEAN memberikan peluang untuk memacu agenda ASEAN, dengan memberi tumpuan kepada pertumbuhan inklusif, pembangunan mampan dan kerjasama serantau yang lebih baik, menurut RHB Investment Bank Bhd.

Katanya tempoh kepengerusian Malaysia akan menjadi teras untuk mendepani ketidaktentuan global berikutan potensi ketegangan perdagangan global yang meningkat.

“Dengan memberi keutamaan kepada daya tahan ekonomi, inovasi dan amalan mampan, Malaysia dapat menerajui dan mengukuhkan kedudukan ASEAN sebagai kuasa ekonomi yang dinamik dan pemain utama dalam membentuk masa depan integrasi ekonomi Asia Pasifik,” menurut bank pelaburan itu dalam nota hari ini.

Seiring dengan kemajuan ASEAN ke arah visi menjadi komuniti bersatu dan bersepadu menjelang 2030, katanya komitmen berterusan terhadap matlamat ini akan menjadi penting untuk menghadapi ketidaktentuan dan memaksimumkan peluang dalam dunia yang semakin saling berkaitan.

“Walaupun risiko dari aspek perdagangan dan geopolitik berterusan (di bawah pentadbiran Amerika Syarikat (AS) yang baharu), kedudukan neutral Malaysia dan hubungan perdagangan yang pelbagai meletakkan negara dalam kedudukan yang baik untuk mendepani cabaran luar ini,” katanya.

Oleh itu, RHB Investment Bank percaya prospek pertumbuhan Malaysia kekal positif, disokong oleh integrasi serantau dan daya tahan ekonominya.

Dalam jangka sederhana hingga jangka panjang, katanya lokasi Malaysia yang strategik di Asia Tenggara, pendirian neutralnya dalam aspek geopolitik serta asas perindustrian dan infrastrukturnya yang maju menjadikannya destinasi menarik untuk perniagaan yang mencari alternatif selain China.

“Secara khusus, sektor pembuatan Malaysia terutamanya dalam elektronik, bahan api mineral dan barangan perkilangan dapat menyaksikan permintaan yang meningkat apabila syarikat memindahkan pengeluaran dari China,” katanya.

Menurut bank pelaburan itu, peranan Malaysia sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia menempatkannya untuk mendapat manfaat daripada pelaburan dan perdagangan berkaitan China yang lebih besar, terutamanya dalam sektor berteknologi tinggi seperti pembuatan elektronik dan semikonduktor.

“Trend ini terus disokong oleh peningkatan pelaburan langsung asing yang stabil dalam sektor teknologi Malaysia sejak 2021,” katanya.

-- BERNAMA