BERITA TERKINI   MB Johor nafi desas-desus pembubaran DUN berlaku hari ini | Wartawan perlu dibenarkan bekerja secara profesional dengan pendekatan lebih berhemah oleh pihak berkuasa - Teo Nie Ching | Pihak berkuasa harus mengutamakan dialog berbanding penahanan dan menyelesaikan pertikaian melalui Majlis Media Malaysia untuk menambah baik perundangan kewartawanan -Teo Nie Ching | Forum Media HAWANA penting, memberi ruang untuk mencorakkan masa depan kewartawanan - Teo Nie Ching | Tabung Kasih@HAWANA beri manfaat kepada 728 pengamal media, jumlah sumbangan sebanyak RM1.94 juta setakat 30 April 2026 - Teo Nie Ching | 

MITI Jangka Jumlah Perdagangan Meningkat Lima Peratus Pada 2025 - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyasarkan jumlah perdagangan meningkat lima peratus pada 2025 daripada RM2.879 trilion dicatatkan pada tahun lepas. 

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, bagaimanapun berkata jika terdapat tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) atau sebarang langkah baharu daripada negara lain, ia akan memberi impak dan Malaysia tidak boleh menafikan hakikat itu.

“Secara objektif, saya perlu mengakui bahawa apabila kami membuat unjuran, kami perlu bertindak cepat, membolehkan unjuran tersebut disesuaikan.

“Sama seperti Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), mereka akan sentiasa menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mereka atas sebab geopolitik, geoekonomi dan sebagainya,” katanya pada sidang media mengenai Kad Laporan MITI 2024 dan Prospek 2025 di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata walaupun sasaran itu lebih rendah berbanding pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak sembilan peratus pada 2024, lima peratus masih merupakan pertumbuhan.

Bagaimanapun, disebabkan cabaran dan andaian dibuat dalam unjuran tersebut, katanya MITI menjangka pertumbuhan akan sejajar dengan pertumbuhan KDNK negara iaitu antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus.   

Mengenai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU), Tengku Zafrul berkata kedua-dua pihak telah menyambung semula perbincangan mengenai perkara itu dan minyak sawit tidak lagi menjadi isu.

“Kami telah menangani kebimbangan tersebut dan hakikat bahawa kami telah mematuhi piawaian itu. Bagaimanapun, terdapat bidang lain yang perlu dipertimbangkan sebelum kami dapat memuktamadkan FTA tersebut.

“Kami mahu memastikan situasi menang-menang (dan) lebih lengkap dari segi digital dan hijau.

“Kami mahu memastikan syarikat Malaysia bersedia untuk menyertai dan memanfaatkan FTA, jika tidak, kita tidak akan dapat melihat kesan positifnya,” katanya.

Beliau turut menyasarkan selesainya FTA Malaysia-EU pada tahun depan.

Pada sidang media, Tengku Zafrul turut membentangkan pelaburan digital yang diluluskan, iaitu sehingga suku ketiga 2024, berjumlah RM64.8 bilion berbanding tahun penuh 2023, yang mencatatkan RM60.5 bilion.  

“Dari 2021 hingga suku ketiga 2024, pelaburan digital diluluskan yang dilaporkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebanyak RM209.5 bilion, dengan 4,704 peluang pekerjaan diwujudkan.

“Pusat data menyumbang RM145.4 bilion (69 peratus) daripada pelaburan digital diluluskan,” katanya. 

-- BERNAMA