BERITA TERKINI   Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 - DOSM | Lebihan dagangan meningkat kepada RM40.4 bilion pada Mei 2026, sekali gus mencatat lebihan selama 73 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 - DOSM | Eksport Malaysia tumbuh 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion, import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion pada Mei 2026 - DOSM | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion pada Mei 2026, didorong pertumbuhan eksport lebih kukuh - DOSM | DBKL peruntuk RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga bangunkan semula 287 lokasi gerai penjaja di ibu negara - Hannah | 

Capital A Umum Sasaran Dalaman Bersama Dengan Keputusan Sukuan

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Capital A Bhd akan mengeluarkan sasaran dalaman bersama -sama dengan keputusan kewangan suku tahunannya agar pemegang saham dan komuniti pelaburan mendapat pemahaman yang lebih jelas mengenai prospek kewangan syarikat. 

 Syarikat itu berkata langkah ini adalah sebahagian daripada komitmennya untuk memastikan ketelusan, akauntabiliti dan keyakinan pelabur.

"Dengan kebanyakkan ketidakpastian yang sebelum ini memberi kesan kepada perniagaan kami telah pun berlalu, langkah ini bertepatan dengan masa sekarang. Inisiatif ini direka bagi menyokong pertumbuhan yang mampan dan membuat keputusan strategik," kata Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Tony Fernandes melalui satu kenyataan hari ini. 

Akan datang, Capital A akan mengeluarkan sasaran dalaman bersama dengan keputusan kewangan suku tahunannya, menggariskan andaian utama serta impak potensi mereka terhadap sasaran yang dinyatakan sebelum ini, katanya lagi.

"Selain itu, kami akan memberikan pandangan mengenai faktor pasaran luaran yang berada di luar kawalan kami yang mungkin mempengaruhi prestasi kewangan syarikat, memastikan pasaran mempunyai maklumat mengenai pengembangan landskap perniagaan kami,” katanya.

Sasaran dalaman pertama Capital A akan dikongsi bersama dengan pendedahan kewangan suku keempat 2024, yang akan diumumkan pada minggu ini.

“Sasaran dalaman ini diaspirasikan oleh pengurusan dan bukan anggaran kewangan atau jangkaan di bawah standard pendedahan serta unjuran kewangan dari Bursa Malaysia,” kata syarikat itu.

Capital A turut mendedahkan bahawa pelupusan perniagaan penerbangannya kepada AirAsia X telah mencapai kemajuan ketara dan mengesahkan ia telah menjawab pertanyaan Bursa Malaysia mengenai status Nota Amalan 17 (PN17).

Syarikat itu sekarang ini sedang menunggu tarikh mahkamah untuk pengesahan mengenai cadangan pengurangan modal di bawah pelupusan berkenaan.

-- BERNAMA