BERITA TERKINI   Liga Super: Imigresen FC 0-3 JDT | RUU Pekerja Gig 2025 lulus, bukti komitmen Kerajaan MADANI pastikan pekerja Gig terima perlindungan sosial - TPM Ahmad Zahid | Nilai ambang persetujuan dalam RUU Pembaharuan Semula Bandar akan dipinda selepas ambil kira pandangan pelbagai pihak - Nga | Dewan Rakyat lulus Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 | PM Anwar suarakan kebimbangan terhadap kemerosotan kepercayaan dan persefahaman dalam kalangan pemimpin politik mengenai makna sebenar keadilan dan kemanusiaan | 

Permintaan Suram, Kontrak Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives susut pada akhir dagangan Isnin, diheret turun oleh kelemahan prestasi minyak soya dan permintaan yang suram, kata penganalisis.

Peniaga Minyak Sawit David Ng berkata aktiviti pengambilan untung susulan peningkatan ketara sebelum ini, juga menjejaskan lagi sentimen pasaran.

“Berikutan itu, kami menjangkakan harga pada paras sokongan RM4,500 satu tan manakala rintangan pada RM4,650 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Seorang penganalisis lain berkata pengeluaran minyak sawit berkemungkinan terus terjejas pada Februari berikutan kekurangan pekerja manakala jangkaan pengeluaran lebih rendah ketika Ramadan akan memberi sokongan terhadap sentimen pasaran.

Pada akhir dagangan hari ini, kontrak Mac 2025 merosot RM105 kepada RM4,731 satu tan, April 2025 susut RM103 kepada RM4,659 satu tan manakala Mei 2025 berkurangan RM105 kepada RM4,559 satu tan.

Kontrak Jun 2025 pula menguncup RM102 kepada RM4,446 satu tan, Julai 2025 berkurangan RM101 kepada RM4,340 satu tan manakala Ogos 2025 susut RM98 kepada RM4,269 satu tan.

Selain itu, jumlah dagangan berkurangan kepada 46,796 lot berbanding 97,093 lot pada Jumaat lepas dan kepentingan terbuka meningkat kepada 244,880 kontrak daripada 243,818 kontrak pada minggu lepas.

Harga MSM fizikal bagi Mac Selatan susut RM100 kepada RM4,800 satu tan.

-- BERNAMA