BERITA TERKINI   Tiada unsur buli babitkan kes pelajar tingkatan empat yang meninggal dunia di sebuah sekolah di Seremban - KP Pendidikan | Kerjasama itu membuka ruang penglibatan lebih strategik pada masa depan termasuk penerokaan potensi besar sektor gas asli Turkmenistan, antara pemilik rizab gas terbesar dunia - PMO | PM Anwar, Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov hari ini saksikan pemeteraian kerjasama strategik antara Petronas dan pihak berkuasa Turkmenistan - PMO | Pencapaian ini hadir sempena 30 tahun kerjasama Malaysia, Turkmenistan dalam sektor tenaga, yang menjadi antara tonggak penting hubungan dua hala kedua-dua negara - PMO | Kerjasama strategik antara Petronas, pihak berkuasa Turkmenistan buka lembaran baharu dalam hubungan ekonomi dan tenaga antara Malaysia dan Turkmenistan - PMO | 

SIBS 2025 Kukuhkan Kedudukan Selangor Sebagai Gerbang ASEAN

SHAH ALAM, 25 Feb (Bernama) -- Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2025 (SIBS 2025), yang akan berlangsung mulai 8-11 Oktober depan, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur akan meletakkan Selangor sebagai hab pelaburan serantau dan pintu masuk ke pasaran ASEAN.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata sidang kemuncak itu, yang merupakan acara terpenting dalam Sidang Kemuncak ASEAN 2025, akan meningkatkan penglibatan perniagaan, menarik pelaburan serta mengukuhkan hubungan perdagangan serantau.

“SIBS 2025 telah ditetapkan sebagai acara rasmi Sidang Kemuncak ASEAN, mempertemukan para pemimpin perniagaan, pembuat dasar dan pakar industri dari seluruh ASEAN untuk meneroka potensi besar pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya pada media di sini hari ini.  

NG berkata SIBS tahun ini akan menampilkan enam komponen utama di bawah satu bumbung: Ekspo Makanan dan Minuman Antarabangsa Selangor (SIE F&B), Ekspo Taman Pelaburan dan Perindustrian Selangor (SPARK), Persidangan Perniagaan Selangor Asean (SABC), Konvensyen Ekonomi Digital dan Bandar Pintar Selangor (SDEC), Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor (SAS) serta yang paling baharu, Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor.

“Sebagai tambahan baharu kepada SIBS 2025, Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor didedikasikan untuk mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai pemimpin serantau dalam ekonomi penjagaan,” katanya.

“SAS 2025 adalah acara yang dijenamakan semula, yang dahulunya dikenali sebagai Pameran Penerbangan Selangor. Pada tahun ini, ia akan menampilkan format ekspo serta persidangan dalaman, yang memberi tumpuan kepada sektor aeroangkasa, termasuk penerbangan komersial, awam dan perniagaan termasuk industri aeroangkasa,” katanya.  

Ng berkata SIBS 2025 dijangka menarik 50,000 pelawat dan menempatkan lebih daripada 700 gerai, mengukuhkan statusnya sebagai sidang kemuncak perniagaan dan perdagangan yang terkemuka di Asia Tenggara. 

“Kami menyasarkan nilai transaksi sehingga RM10 bilion,” katanya lagi.

-- BERNAMA