BERITA TERKINI   MATRADE, dengan kerjasama Nazsoft Tech Sdn Bhd melancarkan MADANI Digital Trade, wadah maya bersepadu yang bertujuan mengukuhkan akses pengeksport Malaysia ke pasaran global | Madani Digital Trade boleh menjadi pencetus perubahan membantu PKS raih manfaat daripada teknologi seperti data raya dan analitik, pengkomputeran awan dan AI -- Tengku Zafrul | Madani Digital Trade ialah inisiatif transformatif yang bakal membentuk semula landskap perdagangan Malaysia -- Tengku Zafrul | Seramai 75,196 ahli KWSP terima insentif kerajaan berjumlah RM11.4 juta di bawah skim program i-Suri pada 2024 - Amir Hamzah | Jumlah keseluruhan caruman i-Saraan KWSP diterima adalah RM2.6 bilion pada 2024 - Amir Hamzah | 

TalentCorp Kerjasama Dengan FSTC Lahir Bakat Baharu Sokong Pekembangan Teknologi

GEORGE TOWN, 25 Feb (Bernama) -- Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) dengan kerjasama Future Skills Talent Council (FSTC) berjaya melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam meningkatkan kemahiran kerja yang menyokong perkembangan teknologi semakin pesat.

Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp Wong Shu Qi berkata FSTC yang diterajui pihak industri, bertindak sebagai platform untuk mengenal pasti pekerjaan dengan kemahiran yang diperlukan oleh industri, sekali gus membantu menangani kekurangan tenaga kerja yang berkelayakan dalam bidang tersebut.

Beliau memaklumkan TalentCorp berperanan sebagai sekretariat manakala menerusi FSTC, pemain industri akan mengenal pasti kemahiran dan pekerjaan yang diperlukan dalam sektor masing-masing, kerana terdapat graduan yang masuk dalam pasaran kerja tetapi tidak sepadan dengan industri.

“Mereka yang dipilih tidak mesti graduan baharu, malah mereka yang telah lama bekerja boleh hadir pada sesi temuduga yang dijalankan, seterusnya (mereka yang terpilih) diberikan latihan agar kemahiran bakat dapat ditingkatkan mengikut keperluan semasa dan akan datang.

“FSTC yang pertama ditubuhkan adalah dalam sektor Elektronik & Elektrik, tahun lepas seramai 500 orang berjaya dalam pemilihan bakat baharu dalam sektor itu dan mendapat peningkatan gaji antara lima hingga 15 peratus, sebab itu kita perlukan melaksanakan program peningkatan kemahiran dan latihan semula untuk lahirkan lebih ramai bakat baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Taklimat TalentCorp bersama Rakan Industri Wilayah Utara di Konvensyen Arena Setia Spice, Bayan Lepas dekat sini hari ini, yang dihadiri kira-kira 150 syarikat.

Sementara itu, Wong berkata Talent Corp juga sedang menghasilkan laporan mengenai impak kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan ekonomi hijau ke atas tenaga kerja dan landskap kerja Malaysia fasa kedua, yang merangkumi 11 sektor ekonomi bagi memahami sejauh mana teknologi itu akan memberi kesan kepada 12 industri termasuk logistik, pelancongan dan komunikasi.

“Fasa pertama laporan mengenai AI, pendigitalan dan ekonomi hijau telah selesai, TalentCorp ketika ini sedang jalankan fasa kedua dan ia mandat terbaru daripada Menteri Sumber Manusia (Steven Sim Chee Keong), yang bertujuan menjadikan TalentCorp sebagai kumpulan pemikir kepada Kementerian Sumber Manusia untuk memahami perubahan dalam pasaran tenaga kerja yang memberi impak oleh teknologi," katanya.

Beliau memberitahu kajian berkenaan akan menjadi bahan rujukan bukan sahaja kepada penggubal dasar, malah turut kepada pemain industri dalam penyediaan tenaga kerja pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Wong berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digalakkan untuk memohon Geran Padanan Latihan Industri untuk PKS (LiKES) bagi membolehkan syarikat terlibat melatih bakat tempatan menerusi latihan industri dengan mengoptimumkan insentif disediakan kerajaan bagi meringankan beban mereka.

“Sekarang kita cadangkan lebih banyak syarikat tempatan ambil pelajar untuk jalani latihan amali bagi tempoh sehingga enam bulan dan kerajaan sediakan geran seperti LiKES supaya lebih ramai pelajar dapat manfaat, kita nak galakkan syarikat ambil lebih ramai lagi intern supaya mereka ada skill yang matching dengan keperluan syarikat,” katanya.

Geran padanan LiKES merangkumi tempoh latihan sehingga enam bulan dengan pemohon berkelayakan perlu menawarkan penempatan latihan sekurang-kurangnya 10 minggu dan menyediakan elaun minimum latihan industri.

-- BERNAMA