BERITA TERKINI   Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turun 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Kerajaan Perluas Pasaran Dagangan, Perkukuh Diplomasi Untuk Hadapi Ketidaktentuan Ekonomi - MITI

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) – Kerajaan mengambil langkah mitigasi bagi menghadapi kesan negatif ketidaktentuan ekonomi global terhadap perdagangan luar negara dengan memperluaskan destinasi eksport serta memperkukuh hubungan diplomasi perdagangan.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada strategi untuk memastikan daya tahan ekonomi Malaysia dalam menghadapi cabaran geopolitik dan perang perdagangan yang semakin meningkat pada tahun 2025, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Selasa.

MITI berkata Malaysia sedang mempelbagaikan destinasi perdagangan ke pasaran baharu di Asia Tengah, Timur Tengah dan Benua Afrika bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran sedia ada.

“Kerajaan turut memperluaskan akses pasaran eksport melalui pemeteraian Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) baharu termasuk Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-Emiriah Arab Bersatu yang ditandatangani pada awal 2025.

“Rundingan FTA lain yang sedang berlangsung termasuk FTA Malaysia-European Free Trade Area (EFTA), FTA ASEAN-Kanada dan FTA Malaysia-Korea, manakala rundingan FTA antara Malaysia dan Kesatuan Eropah akan disambung semula tahun ini.

“Kerajaan meneliti potensi FTA dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta beberapa negara lain,” kata MITI bagi menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) yang ingin tahu langkah kerajaan untuk menghadapi kesan negatif terhadap perdagangan luar negara Malaysia disebabkan ketidaktentuan ekonomi global akibat daripada perang perdagangan dan ketegangan geopolitik pada 2025.

MITI berkata bagi usaha mengekalkan akses pasaran dan kestabilan perdagangan, Malaysia mengukuhkan hubungan diplomatik dan diplomasi perdagangan melalui pendekatan ‘soft diplomacy’.

“Sesi libat urus secara berterusan dengan Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan Pejabat Wakil Perdagangan AS sedang dijalankan untuk membincangkan kepentingan perdagangan bersama.

“Selain itu, penyertaan Malaysia dalam forum perdagangan global dan serantau seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik, Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik turut membuka lebih banyak peluang perdagangan serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara dagang  progresif di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, MITI berkata kerajaan akan terus memainkan peranan dalam mengukuhkan hubungan diplomasi perdagangan dan meneroka peluang ekonomi baharu strategik bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin kompleks.

-- BERNAMA